‘Saya bukan kacau suami orang’ – Risteena

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nur Risteena Munim, 31, tidak tersinggung dengan sendaan netizen gara-gara memuat naik kisahnya yang disangka kena culik selepas hilang daripada radar tunang, Isa Khan, 27, selama setengah jam, baru-baru ini.

Segelintir netizen mengutuk dan mengecam tindakan Risteena yang sering muat naik perkongsian kisah peribadi bersama Isa dalam Instagram (IG). Tak kurang juga meluat dan mahu termuntah melihatnya.

Baginya, dia hanya berkongsi apa sahaja yang diingini termasuk soal peribadi dan kehidupannya.

“Saya hanya kongsi apa sahaja yang dilalui setiap hari. Saya bebas memuat naik status dalam IG peribadi. Apa yang penting, saya tak kacau suami orang. Saya juga tak bercakap buruk fasal orang lain atau muat naik entri yang boleh mencacatkan mata orang.



“Semua orang berhak buat perkara yang sama, tiada siapa nak halang. Kenapa saya perlu menyekat diri untuk muat naik kisah kehidupan yang saya suka. Saya juga mahu abadikan momen manis ini.

“Bagi saya, IG sudah seperti diari bergerak, malah saya tak fikir perkongsian akan tular atau sebaliknya. Saya tak minta jadi tular, niat hanya berkongsi,” katanya kepada BH Online.

Risteena atau nama sebenarnya, Nur Risteena Munim Zainul Ilyas berkata, dia tidak boleh larang teman wartawan menjadikan perkongsiannya sebagai bahan berita. Malah, berterima kasih dengan mereka berkongsi secara positif, tetapi biasalah, akan ada netizen akan melihatnya dari sudut negatif.

Pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Playboy Itu Suami Aku itu berkata, dia tak mampu mengawal sikap negatif yang bersarang dalam diri netizen.



“Ada netizen tak kenal saya langsung, jauh sekali rapat. Namun, mereka menghakimi saya seperti sudah kenal lama. Saya mengambil pendekatan tak bercakap buruk, sekali pun ada yang mengata saya.

“Secara jujur, saya tak baca komen negatif. Ada kala saya rasa begitu dahsyat tahap pemikiran manusia yang menghakimi seorang yang tidak dikenali.

“Tak kurang juga saya terhibur apabila ada antara mereka yang melihat perkongsian dekat dengan kehidupan sendiri terutama pasangan sudah berkahwin. Kita ada cara tersendiri mahu menunjukkan rasa ambil berat atau kasih sayang. Begitu juga saya dan Isa,” katanya.

Anak kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang itu berkata, dia melihat tindakan dan kerisauan Isa apabila dirinya tidak dapat dihubungi selama 30 minit sebagai perkara biasa.



“Saya memandu kereta sudah agak lewat malam dan tiada kenderaan di jalan raya, jadi Isa risau jika saya tak beri maklum balas segera. Dia bimbang sesuatu yang buruk terjadi pada saya.

“Secara kebetulan, saya letak telefon bimbit dalam beg tangan. Biasanya tidak begitu, kami akan berbual sepanjang perjalanan pulang.

“Jadi, saya rasa itu bukan perkara luar biasa. Isa memang lelaki yang sangat mengambil berat,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button