PPFIM kesal syarikat produksi tak patuh SOP

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM) kesal dengan tindakan sebuah syarikat produksi yang didakwa melakukan kerja penggambaran selama dua hari, mulai semalam, seperti yang viral di Facebook.

Presidennya, Khoo Kay Lye berkata, tindakan syarikat terbabit memberi imej buruk kepada penggiat seni yang memohon diberi kelonggaran menyambung kerja penggambaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Hari ini, saya mendapat aduan daripada orang ramai bahawa sebuah syarikat produksi melanggar PKPB dengan melakukan penggambaran tanpa kelulusan.

“Malah, foto aktiviti penggambaran pihak terbabit tersebar di Facebook.



“Syarikat produksi itu didakwa menjalankan kerja penggambaran semalam dan hari ini,” katanya kepada BH Online.

Semalam, kerajaan mengumumkan bersetuju membenarkan aktiviti penggambaran filem, drama dan pengiklanan dalam tempoh PKPB, bermula selepas Aidilfitri.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, syarikat produksi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Antara SOP ditetapkan termasuklah penggambaran tidak boleh membabitkan babak yang menyaksikan berlakunya sentuhan fizikal antara pelakon, kerana ia melanggar pelaksanaan penjarakan sosial.



Khoo berkata, pihak berkuasa seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atau mana-mana badan kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap syarikat produksi terbabit.

“PPFIM berharap tindakan segera diambil kepada produksi terbabit yang sudah mencemarkan kedudukan dan usaha kami untuk membuka semula industri perfileman.

“Kami berharap syarikat terbabit dikenakan tindakan sewajarnya seperti digantung lesen penggambaran selama tiga bulan dan dikenakan kompaun mengikut peruntukan yang ada,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker