Ziana nafi hasut anak jumpa bekas suami
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ziana Zain menafikan bertindak kejam menghasut anak-anak supaya membenci dan menghalang bertemu dengan bapa, Armin Zaharin Ahmad Zambri seperti yang didakwa.
Kecewa dengan tuduhan yang disifatkan tidak berasas, Ziana berkata mustahil untuknya memisahkan kasih sayang seorang ayah dengan anak-anak hanya kerana berlaku perceraian antara mereka.
“Saya terdengar cakap orang mendakwa saya tidak membenarkan anak-anak bertemu dengan bekas suami. Itu tidak benar sama sekali. Perceraian berlaku hanyalah antara saya dan dia, anak tidak seharusnya menerima hukuman atas apa yang terjadi antara kami.
“Jujurnya, saya sering bertanyakan pada anak-anak, apakah mereka ingin bertemu dengan bapanya. Saya tak mahu mendera emosi mereka hanya kerana perasaan dendam atau amarah terhadap bekas suami.
“Cuma buat masa ini, anak-anak belum bersedia dan memerlukan masa untuk bertemu bapa mereka. Saya faham perasaan mereka dan jika satu hari nanti mereka menyuarakan hasrat mahu bertemu, saya akan mengizinkannya,” katanya kepada BH Online.
Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain, 52, berkata, jauh di sudut hati, terbit rasa sedih apabila mengenangkan nasib anak-anak yang terpaksa menempuh kehidupan tanpa seorang ayah di sisi.
“Saya seorang anak yang rapat dan manja dengan ayah. Justeru, bila mengenangkan nasib anak-anak saya sendiri yang terpaksa membesar tanpa ayah, saya rasa sangat sedih. Dalam usia masih mentah, mereka perlu melalui pengalaman seperti ini.
“Namun, saya lihat mereka sangat tabah, lebih lagi anak sulung, Muhammad Aiman yang sangat bertanggungjawab membantu menjaga adik-adiknya. Doa saya semoga kami semua dilindungi dan cekal dalam menempuh pelbagai ujian yang mendatang,” ujar Ziana dalam nada sebak.
Mendirikan rumah tangga pada Mei 1998, Ziana dan suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 21, Muhammad Ammar, 16, serta pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 11.
Konflik rumah tangga pasangan ini tercetus pada Mac 2018 apabila timbul dakwaan Armin mendera anak lelaki mereka. Ekoran kejadian itu, Ziana membuat laporan polis, selain bertindak memfailkan perceraian.
Armin menamatkan kemelut yang melanda perkahwinan mereka apabila menceraikan Ziana dengan talak satu pada Julai, tahun yang sama.