Pesara rugi lebih RM1 juta

Oleh – Syeikh Baran


Pesara rugi lebih RM1 juta
Gambar Hiasan

Seorang pesara mengalami kerugian lebih RM1 juta wang simpanannya setelah terpedaya dengan skim pelaburan berkaitan emas secara atas talian yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 61 tahun itu tertarik dengan pelaburan berkenaan setelah melihat promosi di Facebook, Disember lalu.



Katanya, mangsa kemudian menghubungi nombor yang tertera sebelum menerima mesej daripada seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mangsa telah diberi penerangan mengenai pelaburan saham dagangan ‘Spot Gold Futures XAUUSD’ melalui platform ‘Navik Capital’. Mangsa dijanjikan pulangan pelaburan antara lima hingga lapan peratus dalam tempoh sehari selepas pelaburan dibuat.

“Tertarik dengan tawaran berkenaan, mangsa telah mengikut arahan individu tidak dikenali itu dengan membuat pembayaran ke beberapa akaun bank berjumlah RM1,065,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Kumar, mangsa dimaklumkan pelaburannya telah menjana keuntungan seperti dijanjikan, namun wang berkenaan gagal dikeluarkan atas pelbagai sebab.



“Pengadu yang mula percaya bahawa dirinya telah ditipu kemudian membuat laporan polis berhubung kerugian dialami pada 22 Mac lalu,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button