Aidilfitri: Semuanya berbeza, termasuk program Jom Raya buat gelandangan

KUALA LUMPUR, 24 Mei — Sambutan Hari Raya tahun ini diraikan berbeza sama sekali berbanding sebelumnya, selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak bulan Mac lagi susulan pandemik COVID-19.
Kumpulan gelandangan juga tidak terkecuali daripada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan untuk sambutan Aidilfitri kali ini, sebagaimana yang dapat dilihat di program “Jom Raya” anjuran Institut Onn Ja’afar (IOJ) di Pusat Transit Gelandangan di Jalan Pahang, di sini hari ini.
Walaupun 50 penghuni pusat ini menerima bantuan makanan mengikut SOP, yang termasuk jarakan sosial, ia tetap membawa keceriaan kepada komuniti berkenaan yang turut berdepan dengan cabaran COVID-19, menurut Ketua Pegawai Eksekutif IOJ Charles Mohan.
“Sebelum ini, program Jom Raya kami disambut pada skala lebih besar sejak 2016 di Rumah Transit KL, yang menyaksikan kami menghiburkan kira-kira 200 gelandangan dan meraikan hari yang mulia ini bersama. Bagaimanapun tahun ini ia berbeza sama sekali, apabila tugas kami hanya menghantar juadah raya yang dibungkus untuk gelandangan di sini.
“Selain itu, biasanya kami juga menjemput kira-kira 30 sukarelawan dari universiti awam dan swasta untuk turut serta dalam program ini, yang diluluskan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, namun kini disebabkan PKP, kami hanya bergantung kepada petugas sendiri bagi memastikan makanan dihantar pada waktu yang ditetapkan,” katanya kepada media di sini hari ini.
Seorang penghuni pusat itu, Mohammed Azmi Mohd Sham, 35, berkata ini merupakan tahun pertama beliau menyambut Hari Raya Aidilifitri sebagai seorang gelandangan dan menyifatkan ia sebagai satu pengalaman yang berbeza.
Beliau yang berasal dari Kluang, Johor bagaimanapun menjelaskan sudah dua tahun berturut-turut beliau tidak dapat beraya bersama keluarga di kampung, tahun lepas disebabkan kekangan bekerja dan tahun ini kerana akur kepada PKP
“Kali ini berbeza sebab saya beraya dekat pusat transit gelandangan bersama kawan jalanan, tanpa keluarga. Dekat sini merekalah keluarga yang saya ada. Bila Hari Raya hari ini memang sebak sebab tidak dapat bersalaman dengan ibu.
“Niat saya memang hendak balik tapi sebab PKP, saya tidak boleh balik. Lepas PKP mungkin saya akan balik. Sebab orang tua kita mengharapkan kita anak-anak balik tapi bila tidak dapat balik itu memang sayu, hati seorang ibu kan,” katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, Sufian Suri Hashim, 47, meluahkan rasa gembira apabila dapat menyambut perayaan bersama dengan kawan-kawan memandangkan tahun-tahun sebelumnya beliau hanya menyambut bersendirian tanpa sesiapa.
“Alhamdulillah, gembira sangat hari ini dapat bersama kawan-kawan kalau tidak sedih saya seorang sahaja beraya. Saya rindu keluarga, tapi nak buat macam mana, kami sudah berpisah.
“Saya ucapkan Selamat Hari Raya kepada semua termasuklah keluarga emak ayah, isteri, anak-anak dan kawan-kawan. Maaf zahir batin, kalau salah silap itu saya minta ampun banyak-banyak,” katanya yang berasal dari Tanjung Karang, Selangor.
— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *