Lelaki langgar arahan kuarantin ditahan

KUCHING: Lelaki yang mencetuskan kemarahan warganet kerana mempamerkan gambarnya melanggar arahan kuarantin di rumah menerusi Facebook, ditahan di Sibu, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sibujaya.

Polis sudah merujuk lelaki terbabit kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

“Lelaki itu yang bekerja di Kuala Lumpur balik ke Sibu pada 17 Mei lalu dan diarah menjalani kuarantin di hotel. Bagaimanapun, selepas ujian swab negatif lelaki itu diarah meneruskan kuarantin di rumah hingga 30 Mei ini,” katanya.



Hari ini, lelaki itu mencetuskan kemarahan warganet selepas membuat hantaran di Facebook menunjukkan dirinya sedang bersarapan di sebuah kedai kopi di Sibujaya.

Berdasarkan perbualan bersama rakannya dalam ruang komen di Facebook, lelaki itu mengaku sudah membuka wristband atau gelang tangan khas itu untuk mengelak ditangkap.

Dia turut memberitahu rakannya yang dia mengendurkan gelang tangan yang diperbuat daripada plastik yang dipasang oleh KKM itu bagi individu yang sedang menjalani kuarantin di rumah.

Dev berkata, selepas tular di Facebook, anggota polis bergegas ke kedai kopi berkenaan untuk mencari lelaki berkenaan.



“Menyedari dirinya dicari, lelaki itu kemudiannya menyerah diri di Balai Polis Sibujaya,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button