‘Wartawan Pinggiran’ kehilangan seorang ahlinya
KUALA LUMPUR, 26 Mei — Akhirnya, kumpulan ‘Wartawan Pinggiran’ kehilangan seorang ahlinya, apabila tokoh wartawan Datuk Ahmad A. Talib, meninggal dunia hari ini.
‘Wartawan Pinggiran’ merupakan satu nama kumpulan aplikasi WhatsApp, yang dianggotai tiga ‘otai’ dalam dunia kewartawanan, iaitu seorang lagi tokoh wartawan Tan Sri Johan Jaaffar, bekas pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan Allahyarham Ahmad sendiri.
“Kumpulan WhatsApp yang terkecil di dunia hanya tiga ahli. Sebab ketiga-tiga wartawan pencen… Ini menjadi saluran kami bertiga berhubungan setiap hari, sehingga Allahyarham dimasukkan ke hospital awal bulan ini,” kata Azman ketika ditanya mengenai signifikan nama kumpulan tersebut.
Allahyarham, 69, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini pada 5.42 petang, selepas bertarung dengan kanser hati.
Namun apa yang paling menyedihkan Azman ialah rakan-rakan seperjuangan Allahyarham termasuk beliau sendiri, tidak dapat menziarah jenazah atau hadir pengebumiannya kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuatkuasa.
Mengimbas kembali perkenalan beliau dengan Allahyarham, Azman berkata, beliau mula mengenali Allahyarham pada 1974 di mana mereka bersama-sama menaiki karier kewartawanan, sebelum menyandang jawatan tertinggi kewartawanan di organisasi masing-masing.
“Kami berdua pelapor pelbagai peristiwa penting dalam kancah politik, sosial, dan ekonomi negara, merentasi beberapa Perdana Menteri.
“Allahyarham seorang wartawan profesional bertahap tinggi atau tajam mata penanya. Dan beliau menulis dari lensa kritikal juga bergantung kepada keadaan semasa. Allahyarham seorang yang sangat dihormati dalam bidangnya,” katanya.
Ahmad memulakan kerjaya sebagai wartawan dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 1972 sebelum menyandang pelbagai jawatan kanan di syarikat korporat termasuk di New Straits Times Press (NSTP) dan Media Prima Berhad (MPB).
Berkongsi mengenai keperibadian Allahyarham, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya menggambarkan Ahmad, yang juga pernah menjadi Pengerusi MPI pada 2004 hingga 2008, sebagai seorang yang suka berjenaka dan serba boleh.
“Allahyarham seorang yang mudah didekati, meskipun mukanya (nampak) agak sombong, suka berjenaka dan banyak bergurau sewaktu kami sama-sama menunggu sidang akhbar, satu masa dahulu,” kongsi bekas wartawan Utusan Malaysia itu.
Beliau berkata berkata warga MPI juga turut merasai kehilangan Allahyarham, yang memimpin program latihan yang dirancang selain kekal menjadi penceramah bagi program anjuran institusi itu, walaupun selepas meninggalkan MPI.
Sementara itu, wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin menyifatkan rakan seperjuangannya itu seorang yang baik dan sentiasa bertoleransi, dalam berhadapan dengan sebarang situasi.
“Tok Mat (Allahyarham) tidak pernah kecewa dan susah hati, selalu gembira dan sangat toleransi terhadap karenah manusia termasuk wartawan-wartawan muda yang dia dan saya latih. Allahyarham ada satu sikap istimewa dalam apa jua dibuat mesti ada unsur kebajikan,” katanya.
Menyingkap perkenalannya bersama Allahyarham, A Kadir berkata beliau dan Ahmad mula mengenali antara satu sama lain ketika memulakan tugas di Perkhidmatan Berita Ekonomi di Bernama pada 1972.
“Mungkin saya boleh katakan Allahyarham antara wartawan Melayu dwibahasa yang terakhir, kerana boleh menulis berita am dan ekonomi dalam bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik,” katanya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Taman Perkuburan Raudhatul Sakinah Kem Perdana Sungai Besi, malam ini.
— BERNAMA