Kes COVID-19 di Indonesia lepasi angka 24,000, kematian 1,496

JAKARTA, 28 Mei — Kes positif COVID-19 di Indonesia kini melepasi angka 24,000 dengan kematian meningkat kepada 1,496 orang.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19 Achmad Yurianto, bagi tempoh 24 jam lepas sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 687 kes positif baharu dan 23 lagi kematian direkodkan.

“Jumlah kes positif kini 24,538 kes dan ketika ini juga seramai 13,250 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia.

Provinsi Jakarta kekal dengan jumlah keseluruhan kematian tertinggi setakat ini iaitu 509 kes, diikuti Jawa Timur (334 kes) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Pihak berkuasa Jakarta dan polis kini mengetatkan kawalan masuk ke kota Jakarta bagi memastikan mereka yang pulang berhari raya di kampung tanpa izin tidak kembali ke provinsi itu untuk mengawal penularan virus berkenaan.

Ketua Perhubungan (Pengangkutan) Provinsi Jakarta Syafrin Liputo dalam satu kenyataan berkata setakat semalam, sebanyak 6,364 kenderaan dari wilayah lain diarahkan berpatah balik dan tidak dibenarkan memasuki Jakarta kerana tidak memiliki Surat Izin Keluar-Masuk (surat kebenaran daripada polis).

Kes positif COVID-19 di provinsi Jakarta kini menunjukkan penurunan dan mencatatkan sifar kematian sejak beberapa hari lepas.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *