Pemain badminton Shevon Lai dimasukkan ke hospital kerana denggi

KUALA LUMPUR, 28 Mei — Pemain beregu campuran negara, Shevon Lai dijangka ketinggalan bahagian awal kem latihan Road to Tokyo (RTT) yang bermula 1 Jun ini di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, di sini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata pemain berusia 27 tahun itu didapati menghidap demam denggi  dan kini menerima rawatan di hospital.

“Beliau dijangka direhatkan selama dua minggu dan akan menyertai kem latihan  RTT sebaik sahaja pulih sepenuhnya daripada penyakit itu. Semoga cepat sembuh, Shevon,” kata BAM dalam laman Facebook rasminya, hari ini.

Sejumlah 56 individu, termasuk pemain, rakan sparing, jurulatih, pegawai dan kakitangan sokongan dijangka kembali menjalani latihan di bawah program RTT di ABM, selepas mendapat kelulusan khas daripada kerajaan.

Pemain badminton kelahiran Selangor itu yang berpasangan dengan Goh Soon Huat, di ranking ke-12 dunia dan ke-11 dalam ranking “Race to Tokyo”, sebelum Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membekukan ranking kerana pandemik COVID-19 dalam Mac.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berada dalam kedudukan yang baik untuk mendapatkan tiket mereka ke Tokyo apabila berada di ranking ketujuh Race to Tokyo, tertinggi bagi beregu campuran di negara ini, sementara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berada di ranking ke-13.

Hanya mereka yang berada di ranking lapan teratas akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!
%d bloggers like this: