Baru Bian sertai PSB

KUCHING, 30 Mei  — Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian hari ini mengumumkan beliau menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB), sebuah parti politik pembangkang tempatan.

Bercakap pada sidang media di ibu pejabat PSB di sini, Baru berkata terdapat beberapa alasan beliau menyertai PSB, iaitu dua alasan utama – masa tidak menyebelahinya untuk mendaftar parti baharu sebelum pilihan raya negeri dan pada masa sama, tidak mahu perpecahan lebih besar antara rakyat Sarawak dengan membentuk parti baharu.

“Kami diperkuatkan dengan kepercayaan bahawa parti baharu tidak perlu selepas mendapati bahawa aspirasi PSB bersesuaian dengan kami sebagaimana dalam wawasan harapan saya untuk Sarawak baharu,” katanya.

Seorang lagi bekas pemimpin PKR Sarawak yang mengikuti jejak Baru ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How dan dijangkakan hampir 80 peratus bekas pemimpin akar umbi dan ketua cabang PKR di negeri ini akan menyertai PSB tidak lama lagi.

Sementara itu, Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh yang turut hadir pada sidang media tersebut berkata pihaknya telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Baru sejak beberapa bulan kebelakangan ini yang memfokuskan terutamanya untuk membawa perubahan nyata bagi Sarawak dan membuat perbezaan bermakna untuk kehidupan rakyatnya.

“Pada perbincangan itu, kami mendapati bahawa kami mempunyai aspirasi yang sama untuk masa depan Sarawak. Wawasan dan harapan Baru merangkumi objektif parti kami untuk menjadikan Sarawak sebuah masyarakat pelbagai kaum iaitu semua rakyat Sarawak diberi peluang yang sama rata untuk menjalani kehidupan dan kemakmuran,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply