Bersatu Sabah tegaskan sekali lagi sokongan terhadap PM

Datuk Hajiji Mohd Noor

KOTA KINABALU, 31 Mei — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah telah menegaskan sekali lagi sokongan penuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia dan presiden parti itu.

Ketua Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor berkata pihaknya kekal tegas dengan pendirian menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia dan dalam menerajui parti itu di tengah-tengah kemelut politik semasa di negara ini.

Hajiji berkata sokongan itu selaras dengan suara majoriti Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat pada 23 Feb bagi memutuskan agar parti itu berundur daripada Pakatan Harapan (PH).

“Adalah jelas bahawa Tan Sri Muhyiddin telah mengambil langkah yang tepat kerana ia berdasarkan suara majoriti MPT Bersatu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman, berkata pendirian Bersatu Sabah adalah jelas dan dibuat berdasarkan kehendak majoriti anggota MPT.

Beliau berkata Bersatu Sabah juga mahu Muhyiddin diberikan peluang dan kepercayaan untuk memimpin negara serta terus berusaha mengurus dan menstabilkan kerajaan selain menyatukan rakyat Malaysia.

“Rakyat dan negara memerlukan Tan Sri Muhyiddin dan pasukan Kabinet beliau untuk mentadbir negara dalam mendepani ancaman pandemik COVID-19 serta cabaran getir berkaitan ekonomi dan penyatuan dalam kalangan rakyat.

“Bersatu Sabah juga berharap agar Tan Sri Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad akan menggunakan kebijaksanaan mereka dalam mencari satu konsensus serta menyelesaikan krisis politik demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!
%d bloggers like this: