Shira restu anak jadi penyanyi

KUALA LUMPUR: Impian pelakon, pelawak, pengacara dan penyampai radio, Sharifah Shahira atau Shira melihat anak sulungnya, Allisha Tahir bergelar penyanyi akhirnya menjadi kenyataan.

Allisya muncul dengan single berjudul Hey Pria ciptaan Sharon Paul yang juga diangkat sebagai lagu tema drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe yang kini disiarkan menerusi slot Akasia, TV3. Allisya adalah anak hasil perkongsian perkahwinan pertama Shira dengan vokalis kumpulan legenda, Black Dog Bone, Jatt.

Katanya, single Hey Pria dirakamkan anak daranya sejak lebih setahun lalu.

“Ini tuah dan rezeki Allisya. Secara kebetulan pengarah drama, Heykal Hanifah bertanyakan ada lagu yang sesuai untuk dijadikan lagu tema drama ini, Rusdi Ramli yang juga suami Sharon mencadangkan lagu nyanyian Allisya ini.

“Saya dimaklumkan Heykal bersetuju menggunakan lagu ini tanpa mengetahui siapa gerangan penyanyi. Hanya selepas kelulusan TV3, barulah Heykal bertanya kepada Rusdi siapa penyanyi.

“Masa itulah Rusdi memaklumkan nama Allisya kepada Heykal,” kata penyampai radio Suria FM itu.

Selama ini, isteri kepada Ijoy Azhari itu bukan tidak biasa mempromosikan bakat Allisya dalam laman Instagram.

“Saya sendiri memilih dunia seni untuk berkongsi bakat. Cuma, bakat saya ke arah berlakon, mengacara dan berlawak. Nampaknya, Allisya mengikut jejak bapanya sebagai penyanyi.

“Saya tak menghalang apa sahaja bidang yang ingin diceburi Allisya. Saya merestui apa yang dia ingin lakukan, sejak kecil lagi. Cuma, Allisya kena ingat yang dunia seni bukan seindah yang dilihat.

“Ini permulaan untuk Allisya, jadi kita lihat bagaimana perjalanan seterusnya,” katanya kepada BH Online.

Selain Allisya, Shira yang bertudung sejak Mac lalu dikurniakan dengan empat cahaya mata, Airell, Airra, Audrra dan Adeena, hasil perkongsian bersama Ijoy.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker