Eyra belum tahu jantina bayi

KUALA LUMPUR: Dalam usia kandungan mencecah enam bulan, tumpuan pelakon, Eyra Hazali, 21, lebih kepada persiapan menyambut kelahiran bayi, berbanding Aidilfitri.

Mencetuskan fenomena menerusi drama Mr Grey, Eyra yang mendirikan rumah tangga dengan penjaga gawang Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Haziq Nadzli, 21, bagaimanapun hanya menyediakan sepasang pakaian sedondon bagi meraikan 1 Syawal buat kali pertama sebagai suami isteri.

“Sebenarnya, saya tak melakukan persiapan beriya-iya, tetap secara kebetulan, kami akan berpindah ke kediaman baharu. Dalam sibuk mencari barangan keperluan rumah, kami beli barangan kelengkapan bayi sekali.

“Kami memilih rumah bawah kerana suami berpendapat mudah mengangkat bayi dan barang serentak. Sebelum ini, kami tinggal di kondominium,” katanya yang masih belum mengetahui jantina bayi.



Eyra atau nama sebenarnya, Hazirah Qasalina Hazali berkata, dia dan suami pernah melakukan imbasan, tetapi bayi mereka seperti mahu membuat kejutan dan bersembunyi.

“Saya dan suami tak kisah apapun jantina bayi, asalkan lahir dalam keadaan sihat dan selamat.

“Kini, saya tidak lagi mengalami alahan teruk seperti trimester pertama, tetapi saya tak dapat berpuasa. Saya hanya sempat berpuasa selama tiga hari, itupun hampir pitam. Jadi, suami tidak mengizinkan saya berpuasa pada Ramadan lalu.

“Dalam masa yang sama, saya perasan bayi kurang aktif ketika berpuasa. Berat badan juga tidak naik. Sepatutnya, dalam usia kandungan mencecah enam bulan, berat badan saya mencecah 60 atau 61 kilogram (kg), tetapi setakat ini, hanya mencecah 57 kg sahaja. Bagaimanapun, berat bayi naik,” katanya kepada BH Online.



Katanya, dia semakin berdebar memikirkan proses bersalin apabila kandungan semakin membesar.

“Saya dan suami merancang mengikuti kelas persediaan sebagai ibu bapa anjuran hospital. Bagaimanapun, kami tak dapat mengikuti kelas berkenaan berikutan tempoh PKPB. Jadi, kami hanya belajar melalui YouTube sahaja,” katanya yang kini alahan apabila menaiki kenderaan.

Eyra dan Haziq diijabkabulkan pada 1 November lalu mendedahkan, dia akan bersalin dan menjalani tempoh berpantang di Kuala Lumpur, memandangkan berdekatan dengan ibu bapa mereka. Kini, mereka tinggal di Johor Bahru.

Bagi memberi tumpuan kepada bayi yang akan dilahirkan, Eyra berkata, dia akan bercuti selama setahun daripada kerjaya lakonan.

“Saya tidak akan menggunakan khidmat pembantu. Suami lebih suka saya menjaga anak sendiri kerana tak mahu anak lebih rapat dengan pembantu. Saya juga berhasrat mahu memberi susu badan, jadi kenalah berehat selama setahun.

“Jujurnya, saya masih meminati dunia lakonan, malah ada penerbit yang bersedia menunggu hingga saya bersedia kembali. Suami pula tak pernah menghalang saya meneruskan kerjaya, cuma sekarang, perjalanannya masih panjang lagi. Saya belum pun bersalin lagi.

“Saya tak kisah sekiranya tiada lagi tawaran ketika saya sudah bersedia kembali. Saya percaya rezeki Allah luas dan terbentang,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker