Lelaki didenda RM5,000 memandu dalam keadaan mabuk

SIM Kah Wei, diiringi polis trafik selepas didenda RM5,000 di Mahkamah Majistret Alor Setar, atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk. (Foto/Zuliaty Zulkiffli

ALOR SETAR: Seorang peniaga dijatuhi hukuman denda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

Majistret Nurshahida Abdul Rahim, menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Sim Kah Wei, 49, dari Butterworth, Pulau Pinang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh ketika kejadian memandu dalam keadaan mabuk menyebabkan kenderaannya terbabas dan melanggar penghadang di Kilometer 40.8 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Hutan Kampung, pada 27 Mei lalu, jam 11.30 malam.

Hasil ujian dijalankan mendapati paras alkohol dalam badan lelaki itu didapati tinggi dan melebihi had ditetapkan.



Tertuduh yang mengaku bersalah membayar jumlah denda yang dikenakan terhadapnya atau berdepan penjara enam bulan.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 45 (A) (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button