Semangat Kaamatan tetap dirasai walaupun dengan SOP
KOTA KINABALU, 31 Mei — Meskipun hanya menyambut perayaan pesta Kaamatan secara sederhana bersama keluarga terdekat dan rakan sekampung, namun, kemeriahannya tetap dirasai oleh Anastasia Eva Danny, 19, gadis berbangsa Murut berasal dari Kampung Indah, Nabawan, kira-kira 180 kilometer, dari sini.
Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata sambutan pesta Kaamatan pada tahun ini sememangnya agak berlainan berbanding tahun sebelumnya kerana kebiasaannya dia akan menghadiri beberapa aktiviti diadakan termasuk menyaksikan pertandingan Unduk Ngadau (Ratu Cantik) dan Sugandoi (nyanyian).
Bagaimanapun, Anastasia berkata perbezaan cara sambutan perayaan yang turut menerapkan normal baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 bukan menjadi penghalang untuknya terus menyuburkan budaya serta tradisi pesta Kaamatan.
Anastasia berkata seawal 6.00 pagi dia sudah bersiap untuk mengenakan pakaian tradisi kaum Murut dinamakan ‘Pinongkoloh’ sebelum meraikan Kaamatan bersama keluarga terdekat, dengan pelbagai juadah disajikan termasuk bosou (jeruk ikan) dan sambal tuhau.
“Sambutan Kaamatan hari ini dibuat secara kecil-kecilan. Ada seramai 17 orang daripada empat keluarga di kampung ini bersama meraikannya. Masih mematuhi SOP ditetapkan. Kami juga memakai baju tradisi dan membawa juadah masing-masing bagi memeriahkan lagi suasana,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
“Walaupun Kaamatan disambut dalam keadaan begini (mengikut SOP), namun, tradisi tetap ada dalam hati dan kami tidak boleh melupakannya. Kami masih boleh mendengar lagu Kaamatan, menyaksikan pertandingan Sugandoi dalam talian, memakai baju tradisi dan mengambil gambar sebagai kenangan,” katanya.
Apa yang penting bagi Anastasia, pelajar Tingakatan Enam Atas dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bingkor, Keningau, itu adalah kebersamaan dengan keluarga terdekat dapat terus dieratkan dalam sambutan perayaan Kaamatan.
Kaamatan adalah perayaan etnik Kadazandusun dan Murut bagi mensyukuri hasil padi selain mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan persahabatan menerusi sambutan besar-besaran bermula di peringkat kampung, daerah dan negeri.
Ia disambut selama sebulan pada Mei sebelum kemuncak perayaan diraikan pada 30 dan 31 Mei.
— BERNAMA