Tetap jumpa akar umbi jelas kerjasama BN, PH

Oleh – Syeikh Baran


Tetap jumpa akar umbi jelas kerjasama BN, PH
ASYRAF Wajdi bercakap kepada lebih 500 ahli UMNO yang hadir dalam majlis penerangan isu-isu semasa negara dan parti di Beruas hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki tetap turun berjumpa ahli akar umbi partinya bagi menjelaskan kedudukan UMNO yang sudah 15 bulan terlibat membentuk Kerajaan Perpaduan.

Katanya, program itu dibuat untuk menerangkan isu-isu semasa terutama keadaan UMNO yang menjalinkan kerjasama dengan parti-parti yang sekian lama dianggap sebagai musuh khususnya DAP.

“Mereka mesti mempunyai kefahaman yang jelas kenapa kita berada dalam Kerajaan Perpaduan dan bagaimana Kerajaan Perpaduan ini penting bagi memastikan kelangsungan kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” katanya selepas majlis penerangan isu-isu semasa negara dan parti, di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, program Jelajah Akar Umbi telah bermula sejak Oktober lalu kerana melihat anggota parti begitu dahagakan maklumat-maklumat semasa.

Asyraf mengakui pada peringkat awal semasa membentuk Kerajaan Perpaduan, memang wujud kerisauan dalam kalangan ahli parti tersebut.

“Kita perlu menjelaskan bahawa UMNO tidak sesekali mengetepikan prinsip-prinsip asas perjuangan.

“Bahkan apabila kita menubuhkan kerajaan ini, kita tandatangan perjanjian asas dengan parti-parti yang bersetuju untuk membentuk kerajaan.

“Dalam perjanjian itu, kita letakkan syarat paling utama iaitu perkara melibatkan kepentingan Islam, kedudukan Melayu bumiputera dalam Perlembagaan, institusi Raja-raja Melayu dan kedudukan bahasa Melayu. Itulah empat teras yang tidak boleh dikompromoikan. UMNO tidak pernah mengubah pendirian,” katanya.

Mengenai tentang ketidaksefahaman dalam kalangan ahli UMNO, beliau berkata kini telah wujud kesedaran dalam ahli-ahli parti untuk memulihkan masalah tersebut.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker