Rusuhan di AS, ratusan penunjuk perasaan ditahan
WASHINGTON D.C., 2 Jun — Amerika Syarikat (AS) terus dicengkam rusuhan besar-besaran yang menyaksikan penunjuk perasaan terus berhimpun di Lafayette Park berdekatan dengan Rumah Putih membantah keganasan dilakukan anggota polis, lapor agensi berita Anadolu.
Penunjuk perasaan melaungkan slogan mengutuk kekerasan anggota polis menyebabkan beberapa penunjuk perasaan ditahan.
Ratusan penunjuk perasaan turut membantah perintah berkurung yang dikuat kuasa oleh Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser.
Menjelang taklimat media Presiden Donald Trump di Rumah Putih, polis bertindak menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Pertembungan terus tercetus antara pihak berkuasa dan penunjuk perasaan.
Pada Ahad, sekumpulan penunjuk perasaan merosakkan beberapa premis perniagaan walaupun perintah berkurung dikuatkuasakan.
George Floyd, 46, ditahan pada 25 Mei, didakwa cuba menggunakan wang palsu di sebuah kedai di Minneapolis, Minnesota.
Insiden itu menimbulkan kemarahan rakyat apabila rakaman video yang tular di Facebook, menunjukkan pegawai polis Derek Chauvin menggunakan kekasaran ketika menahan Floyd.
Chauvin menekan lututnya di leher Floyd selama hampir sembilan minit sehingga mangsa sukar bernafas dan rayuannya langsung tidak diendahkan anggota polis itu.
Lelaki kulit hitam itu kemudian disahkan meninggal dunia di hospital.
Ungkapan terakhirnya “Saya tidak boleh bernafas,” dijadikan slogan oleh penunjuk perasaan di seluruh negara.
Walaupun perintah berkurung dikuat kuasa di bandar-bandar utama AS, penunjuk perasaan tidak mengendahkan malah terus mengadakan protes yang kini masuk hari ketujuh.
Trump pada Isnin berkata pihaknya akan bertindak menggerakkan semua pertahanan awam, tentera persekutuan dan tempatan sebagai tindak balas terhadap rusuhan itu.
— BERNAMA