Lelaki dihadap ke mahkamah kerana memfitnah Undang Jelebu

KUALA PILAH, 3 Jun– Seorang pekerja pembersihan sekolah hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan membuat dan menyiar satu pernyataan berbaur fitnah menerusi laman sosial Facebook, terhadap Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad, pada 22 dan 23 Mac lepas.

Tertuduh Norazman Ahmad, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa telah membuat dan menyiar suatu pernyataan atau khabar angin, dengan niat untuk menyebabkan atau yang akan menyebabkan rasa takut atau rasa bimbang kepada orang awam, yang mana-mana orang boleh didorong untuk melakukan suatu kesalahan terhadap ketenteraman awam.



Kesalahan itu dilakukan di sekitar Kuala Klawang, Jelebu pada pukul 11 pagi, 22 Mac lepas, bagi pertuduhan pertama dan pada pukul 2.30 pagi, 23 Mac lepas, bagi pertuduhan kedua.

Dia didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan alternatif.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa secara sedar menggunakan kemudahan rangkaian Facebook berserta dengan nombor telefon miliknya, untuk membuat penghantaran komen yang dibaca dan dilihat oleh Mohd Fadzil Abdul Ghani, 53, dengan niat menyakitkan hati, menganiaya serta mengugut atau menganggu.



Kesalahan itu dilakukan di sekitar Kuala Klawang, Jelebu pada pukul 11 pagi, 22 Mac lepas bagi pertuduhan pertama, dan pada pukul 2.30 pagi, 23 Mac lepas bagi pertuduhan kedua.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fuad Ramlan tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



Tertuduh kemudian membuat rayuan agar diberikan jaminan, memandangkan beliau menanggung isteri, selain ibunya yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button