Televisyen di Jepun dedah kejayaan Vietnam bendung COVID-19


TOKYO, 12 Jun — Mewujudkan sistem pengujian dengan cepat dan langkah kuarantin menyeluruh, antara faktor utama di sebalik kejayaan Vietnam membendung penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat tempatan, kata seorang profesor, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Berita itu disiarkan saluran televisyen Jepun, NHK pada Khamis.

“Vietnam tidak mempunyai kit ujian atau ubat khusus untuk merawat penyakit ini. Tetapi kerajaan memutuskan apa yang perlu dilakukan sejak peringkat awal dan terus melaksanakannya tanpa berlengah,” kata profesor Universiti Nagasaki, Jepun, Hasebe Futosh.

Selain itu, sistem politik negara juga memainkan peranan, kerana ia membolehkan pihak berkuasa mengenakan sekatan yang ketat secara paksaan dan ia dipatuhi setiap lapisan masyarakat, katanya.



Sejurus selepas kes pertama disahkan di negara ini pada akhir Januari, pihak berkuasa mengenakan perintah kuarantin kepada pesakit dan kontak. Bermula awal April, kerajaan melarang apa juga acara yang tidak penting dan semua kedai diarah tutup kecuali pasar raya dan farmasi.

Tinjauan firma penyelidikan Britain, YouGov, menunjukkan lebih 90 peratus rakyat Vietnam mengatakan kerajaan berjaya menangani wabak itu dengan baik.

Dalam wawancara dengan NHK dan media antarabangsa lain, Perdana Menteri Nguyen Xuan Phuc berkata meskipun langkah-langkah sukar terpaksa diambil namun ia terbukti membuahkan hasil.

“Kami tidak boleh mengabaikan nyawa rakyat dengan hanya memikirkan soal ekonomi,” katanya.



Beliau berkata virus itu sangat berbahaya dan belum ada vaksin yang berjaya dihasilkan, justeru langkah-langkah pencegahan ketat amat penting.

“Kejayaan membendung pandemik dengan cepat membantu menarik pelabur dan pelancong kembali ke Vietnam.”

Memandangkan COVID-19 memberi kesan buruk kepada ekonomi Vietnam, beliau berikrar untuk membantu pengusaha perniagaan dengan mengurangkan cukai dan menawarkan pelbagai insentif lain.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker