Sidang Kemuncak ASEAN: Malaysia gesa komuniti antarabangsa kutuk dan tolak rancangan pengambil alihan Israel

KUALA LUMPUR, 26 Jun — Malaysia hari ini menggesa komuniti antarabangsa – terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) – agar mengutuk dan menolak rancangan pengambil alihan Israel terhadap bahagian Wilayah Palestin Yang Diduduki di Tebing Barat.

Semasa membuat gesaan itu pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komuniti antarabangsa hendaklah juga memastikan agar rancangan itu tidak akan dilaksanakan.

Beliau berkata, Malaysia begitu prihatin terhadap nasib rakyat Palestin, yang berterusan berhadapan dengan keadaan ketidakstabilan di Timur Tengah.



“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya dan menolak pengumuman baru-baru ini oleh Israel untuk melaksanakan rancangan pengambil alihan bahagian Wilayah Palestin Yang Diduduki di Tebing Barat,” katanya pada Sidang Kemuncak yang diadakan secara maya dan dihoskan oleh Pengerusi ASEAN 2020, Vietnam. Muhyiddin menyertai Sidang itu dari Putrajaya.

Perdana Menteri berkata, Kuala Lumpur akan terus berdiri teguh dan bersatu padu dengan rakyat Palestin.

Muhyiddin menjelaskan bahawa rancangan pengambil alihan itu semakin mengurangkan prospek penyelesaian dua negeri, yang disokong oleh komuniti antarabangsa.

“Tindakan haram dan sebelah pihak oleh Israel jelas mempertikaikan keikhlasannya terhadap penyelesaian keamanan dan damai terhadap konflik Israel-Palestin yang telah lama berlarutan,” katanya.



Malaysia telah lama memperjuangkan penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negara Palestin.

Kerajaan perpaduan Israel, dibentuk antara Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan pesaing politiknya Benny Gantz pada Mei, menandatangni satu perjanjian yang membenarkan Israel untuk memulakan undang-undang untuk pengambil alihan sebahagian besar wilayah yang diduduki di Tebing Barat bermula 1 Julai.

Tebing Barat, termasuk Jerusalem Timur, telah berada di bawah penjajah Israel sejak Perang Enam-Hari 1967. Dianggarkan 700,000 penduduk haram Israel menduduki wilayah berkenaan.

Setiausaha Agung PBB, António Guterres, pada perjumpaan maya Majlis Keselamatan pada Rabu, telah menggesa Israel agar membatalkan rancangannya untuk mengambil alih bahagian Tebing Barat yang diduduki.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button