Rumah pinggir Sungai Kupang dipindahkan

BALING: Sebanyak 16 buah keluarga yang tinggal di jajaran Sungai Kupang dipindahkan ke penempatan baharu, selepas rumah mereka tidak lagi selamat untuk didiami.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata langkah itu perlu dilakukan selepas kajian mendapati kawasan rumah mereka berisiko selepas kejadian banjir dan aliran puing, sebelum ini.

“Kerajaan negeri akan melaksanakan pemindahan fasa kedua bagi menempatkan 16 keluarga terbabit ke tempat selamat. Kita sedang menyediakan satu lokasi lain untuk pemindahan fasa yang kedua ini.



“Dalam lawatan Raja Muda Kedah sebelum ini, baginda menitahkan agar penduduk yang berisiko di tepi sungai dan juga beberapa lokasi di sekitar kawasan itu terus dipindahkan, bagi menjamin keselamatan nyawa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mangsa Banjir Tragedi Kepala Air Lata Celak Kampung Iboi di Desa KEDA Kampung Sadek di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, rumah baharu bagi menempatkan seramai 12 keluarga mangsa banjir aliran puing yang kehilangan kediaman mereka dalam kejadian pada 4 Julai lalu, dijangka siap pada Disember ini.

“Rumah yang musnah dalam kejadian banjir dan aliran puing 4 Julai lalu 17 buah rumah. Namun, 12 keluarga yang kita bina rumah ini rumah mereka sendiri dan lima buah lagi rumah sewa.



“Jadi 12 keluarga ini sekarang tinggal secara menyewa di beberapa tempat dan kita bantu dari segi bayaran sewa bulanan untuk tempoh enam bulan. Kita berharap agar rumah ini dapat dibina dalam tempoh kurang daripada enam bulan, sebelum Disember ini.

“Rumah terbabit akan dibina di atas tanah milik kerajaan negeri dan turut mendapat kerjasama penuh daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA). Rumah sebuah-sebuah yang mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu,” katanya.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading