Allahyarham Mohd Khusairi pemimpin yang ambil berat kepentingan semua
BENTONG, 15 Julai — Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, yang meninggal dunia petang tadi, merupakan seorang pemimpin yang mengambil berat terhadap kepentingan semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Allahyarham bukan hanya tokoh peringkat Tanjung Malim sahaja tetapi juga Malaysia, dan pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat UMNO.
“Kami reda dengan pemergian Allahyarham dan terima ketentuan ilahi dengan hati yang terbuka. Allahyarham merupakan seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan seorang yang berkawan dengan semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya kepada Bernama di Pusat Forensik Hospital Bentong, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata Allahyarham juga merupakan seorang bekas wartawan yang selalu berpandangan kritis.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengucapkan takziah kepada Allahyarham dan bersedih atas kehilangan seorang sahabat yang baik.
“Saya agak terkejut dengan pemergian Allahyarham dan hanya mengetahui berita pemergian Allahyarham selepas dimaklumkan pegawai saya.
“UMNO kehilangan seorang pemimpin yang baik seperti Allahyarham, maka sama-sama kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” kata Menteri Kanan Pertahanan itu.
Ismail Sabri berkata perwatakan Allahyarham seorang yang periang dan peramah.
“Saya memang kenal rapat dengan Allahyarham kerana kami bersama-sama di zaman Pemuda UMNO dan pada minggu lepas saya baru sahaja berjumpa dengan arwah,” katanya.
Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada jam 4.15 petang di Hospital Bentong selepas tiba-tiba pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort sekitar 2.30 petang.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Jamilah Nordin dan tujuh orang anak.
Mohd Khusairi, yang menjadi wakil rakyat Slim selama empat penggal sejak 2004, mempunyai latar pendidikan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) di Universiti Kebangsaan Malaysia dan pernah bertugas sebagai pegawai akhbar untuk ADUN Sukau, Kinabatangan selama tiga tahun bermula 1988.
Anak jati Perak itu meneruskan kerjaya sebagai penyunting di Suara Bersatu milik Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1990 sebelum dilantik menjadi Setiausaha Akhbar Menteri Pembangunan Sosial Sabah selama setahun pada 1991 selain menyandang jawatan penyunting Majalah Ahli Penyokong Parlimen pada 1995 sehingga 1997.
Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Perak, Datuk Asmuni Awi menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Mohd Khusairi menerusi surat kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.
“Saya dan seluruh dan ahli keluarga, kepimpinan serta ahli-ahli Amanah negeri Perak merakamkan takziah atas pemergian Datuk Mohd Khusairi kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham semoga tabah dan sabar hadapi ujian ini,” katanya.
— BERNAMA