Malaysia bekerjasama dengan UNICEF buka pusat aktiviti untuk kanak-kanak jalanan

KOTA KINABALU, 15 Julai — Kerajaan Malaysia dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah, merancang untuk membuka sebuah pusat aktiviti khusus buat kanak-kanak jalanan, yang dibiayai bersama oleh Kesatuan Eropah (EU).

Semalam Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon bersama wakil pihak yang terlibat telah melawat tapak pusat aktiviti itu yang sedang dalam pembinaan, di Pusat Api-Api di sini, sebelum menghadiri satu seminar berkaitan projek berkenaan.

Poon berkata kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sentiasa prihatin terhadap isu pengangguran, gelandangan dan kanak-kanak jalanan.



“Sebagai anggota kerajaan, kami percaya Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah perlu menyokong pelaksanaan rancangan ini untuk membaiki keadaan semasa kanak-kanak jalanan ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

“Selain membincangkan keperluan kanak-kanak jalanan, kita juga perlu memahami secara mendalam latar belakang anak-anak ini dan mengapa mereka berada di jalanan, bagi merumuskan penyelesaian untuk mengurangkan jumlah kanak-kanak jalanan di masa depan,” tambahnya.

Menurut beliau objektif awal projek itu adalah untuk mengurangkan jumlah kanak-kanak jalanan di sekitar Kota Kinabalu dan memberi ruang yang selamat bagi mereka mendapatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan, pendidikan dan kegiatan rekreasi.

“Objektif jangka panjang pula adalah untuk memberi perkhidmatan yang lebih holistik, termasuk kaunseling dan perlindungan kanak-kanak. Penerima manfaat program ini adalah kanak-kanak jalanan sama ada pendatang atau pelarian (di dalam Malaysia atau merentasi sempadan), pelarian yang mempunyai atau tanpa dokumen, atau kanak-kanak tanpa kewarganegaraan,” katanya.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button