PAS yakin pengagihan kerusi PRU15 bersama komponen PN mampu ditangani dengan baik
JOHOR BAHRU, 19 Julai — Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yakin pengagihan kerusi membabitkan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mampu ditangani dengan baik.
Beliau berkata sebarang isu perbezaan pendapat berhubung pengagihan kerusi, diyakini dapat diselesaikan oleh Majlis Presiden dan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional, secara harmoni.
“Rundingan bersama (antara komponen PN) akan bincang dalam masa terdekat…proses rundingan kerusi ini akan berjalan dan mengambil masa, tetapi kita yakin boleh selesai dengan baik.
“Secara prinsipnya kita akan kekal di negeri-negeri yang didominasi setiap parti,” katanya yang ditemui pemberita selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya PAS Johor, di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal semalam, berhubung terdapat pemimpin UMNO yang tidak bersetuju, sekiranya Kedah dan Terengganu diserahkan ‘bulat-bulat’ kepada PAS pada PRU15.
Ini kerana ada pemimpin beranggapan bahawa UMNO masih mempunyai kekuatan di dua negeri terbabit, dan kegagalan dalam PRU14 adalah disebabkan pertembungan tiga penjuru.
Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air dalam masa sama menyifatkan, pandangan pemimpin UMNO tersebut sebagai pandangan peribadi mereka, dan PAS tidak mempunyai masalah mengenainya.
“Pandangan-pandangan daripada individu itu dianggap pandangan peribadi masing-masing, kita tidak boleh sekat pandangan masing-masing”, katanya.
Mengenai persiapan PRU15, beliau berkata parti itu sudah bersedia menghadapinya dan sedang menggiatkan usaha menambah keanggotaan, di setiap negeri.
“Kalau tengok dalam kerjasama antara PAS dan UMNO serta parti-parti lain (komponen), kita yakin kita akan tambah kemenangan kita. Sebab kalau dahulu UMNO dan PAS bersendirian pun kita sudah capai kemenangan, sekarang dengan gabungan muafakat, kita yakin kita akan dapat lebih baik dari sebelum ini,” katanya.
— BERNAMA