Quartararo rangkul kemenangan sulung MotoGP

KUALA LUMPUR, 19 Julai — Penunggang Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo menguasai Litar Jerez apabila merangkul kemenangan sulung MotoGPnya di Grand Prinx Sepanyol pada Ahad.

Beliau muncul sebagai pelumba kedua Perancis yang memenangi kelas premier sejak rakan senegara Regis Laconi merangkul kemenangan sama di Litar Valencia pada 1999.

Penunggang berusia 21 tahun berasal dari Nice itu, yang bermula dari petak pertama, mencatat masa 41 minit 23.796 saat dalam perlumbaan 25 pusingan.

Pelumba Sepanyol, Maverick Vinales dari pasukan Monster Energy Yamaha dan pelumba pasukan Ducati, Andrea Dovizioso dari Itali, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga selepas ketinggalan 4.603 saat dan 5.946 saat di belakang Quartararo.



Rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli, di tempat kelima dengan catatan masa 41 minit 30.64 saat.

“Kami tahu Marc Marquez (juara bertahan MotoGP) lebih pantas daripada kami namun berdasarkan sesi latihan bebas, kami sedar bahawa kami perlu melakukan dengan lebih baik lagi dan akhirnya kami kekal konsisten sepanjang perlumbaan.

“Keadaan litar amat teruk selepas perlumbaan Moto2, kami tahu biasanya cengkaman tayar tidak begitu baik. Sejujurnya, saya rasa yakin dengan jentera dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yamaha serta pasukan kami atas kemenangan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlumbaan itu.

Kemenangan Quartararo pastinya mengubat duka penunggang Petronas Sprinta Racing, John McPhee dari Great Britain yang terlibat dalam kemalangan di selekoh terakhir perlumbaan Moto3.



Rakan sepasukan McPhee, penunggang Malaysia Khairul Idham Pawi mengakhiri perlumbaan di tempat ke-22 daripada 25 pelumba dengan catatan masa 39 minit 55.10 saat.

Dalam perlumbaan Moto2, dua penunggang Petronas Sprinta Racing iaitu Xavi Vierga dan Jack Dixon  menyudahkan saingan masing-masing di tempat ke-10 dan ke-18 dengan catatan masa 39:42.887 saat dan 39:59.729 saat.

Dua pelumba Malaysia iaitu Hafizh Syahrin Abdullah daripada Inde Aspar Team Moto2 dan Kasma Daniel Kasmayuddin daripada Onexox TKKR SAG Team masing-masing menduduki tempat keenam dan ke-22 daripada 23 penunggang.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button