Lapan anggota polis dikenakan tindakan tatatertib, terima imbuhan atur lokasi tugas

KUALA LUMPUR, 20 Julai — Lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat koperal dari Jabatan Pengurusan Bukit Aman dikenakan tindakan tatatertib kerana dikesan meminta imbuhan bagi tujuan mengatur proses perpindahan lokasi tugas anggota.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata kesemua anggota polis berkenaan telah diarahkan bertukar ke jabatan lain serta-merta.

“Kes tersebut dikesan pada tahun lepas selepas anggota polis terlibat disyaki mengambil imbuhan yang mencecah sehingga RM5,000 yang dibayar secara ansuran bagi tujuan itu (mengatur proses perpindahan),“ katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.



Abdul Rahim juga tidak menafikan dakwaan terdapat pegawai dan anggota polis membayar ribuan ringgit kepada ‘orang dalam’ kerana ingin lulus peperiksaan dalaman bagi mendapatkan peluang temu duga untuk kenaikan pangkat.

Jelasnya, sistem peperiksaan kenaikan pangkat PDRM dinaik taraf dari semasa ke semasa, namun terdapat sesetengah pihak yang cuba menggunakan jalan mudah dengan meminta dan memberi habuan.

“Saya tidak menafikan perkara itu, namun setakat ini saya belum mengesan kes berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan sistem peperiksaan kenaikan pangkat kini adalah dalam bentuk digital, dengan 40 peratus markah dinilai menerusi ujian Penilaian Kompetensi dalam talian PDRM.



Sementara, 30 peratus markah dinilai berdasarkan kecemerlangan penugasan seperti pernah menerima sijil penghargaan, mewakili pasukan ke luar negara dan menyambung pelajaran semasa perkhidmatan. Lebihan 30 peratus lagi akan dinilai lembaga temu duga yang dikelolakan Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Justeru, tegasnya tidak mudah untuk sistem berkenaan digodam sehingga boleh mengubah keputusan peperiksaan.

Bernama sebelum ini melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dipetik sebagai berkata pihaknya ada menerima laporan mengenai pegawai dan anggota membayar antara RM4,000 hingga RM10,000 kepada pihak ketiga semata-mata kerana ingin lulus peperiksaan dalaman bagi mendapatkan peluang temu duga untuk kenaikan pangkat.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button