Jangan Terlalu Keras Kepada Peniaga Kecil, Contohi Kementerian Wilayah Persekutuan – Armand
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah memohon Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar tidak terlalu keras mengambil tindakan terhadap peniaga-peniaga kecil di dalam penguatkuasaan memandangkan peniaga sebelum ini menghadapi kesukaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.
Ujarnya, seharusnya pihak kementerian memberi ruang, peluang dan mendapatkan penjelasan daripada mereka yang terbabit bukan terus diberikan saman yang tinggi dan seterusnya dapat memberikan penambahbaikan terutama kepentingan yang melibatkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan juga peniaga-peniaga kecil.
“Apabila mereka (KPDNHEP) membuat serbuan di kedai-kedai, di tepi jalan dan sebagainya, mereka mengambil tindakan tegas tentang isu timbang tamat tempoh. Ini isu yang agak unik. Kebanyakan isu timbang tamat tempoh ini apabila saya kaji dan nilai kebanyakan timbang tamat tempoh ini berlaku ketika kita di musim PKP.
“Dalam keadaan tersebut kebanyakan peniaga-peniaga kecil terutamanya usahawan-usahawan muda tidak dapat memperbaharui lesen timbang mereka kerana dalam keadaan dilanda pandemik COVID-19. Tetapi hari ini bila mereka mula berniaga, kena faham apabila empat bulan kita lalui PKP dan sebagainya, banyak yang terkesan terutama peniaga-peniaga kecil di dalam dan luar bandar.
“Tetapi tindakan tegas KPDHEP tanpa memberi ruang dan peluang untuk mereka memberikan penjelasan dan sebagainya jadi saya rasa ini satu tindakan yang amat tidak baik kerana sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyat sudah pastinya masyarakat dan peniaga-peniaga kecil ini ingin menyuarakan pandangan mereka kepada pihak kerajaan,” katanya dalam satu hantaran videonya di Facebook mengulas isu berkenaan.
Jelas Ketua UMNO Bahagian Subang itu, para peniaga menginginkan suara mereka didengari dan juga ruang perbincangan bagaimana penambahbaikan mampu dilaksanakan bagi menangani isu tersebut.
Ulasnya lagi, seharusnya kementerian tersebut mengikut jejak langkah Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah Tan Sri Annuar Musa yang memberi ruang dan peluang kepada peniaga-peniaga kecil, contohnya memberikan lesen sementara kepada mereka untuk memulakan perniagaan.
“Ini tindakan yang bagus daripada sebuah kementerian di dalam bandar.
“Seharusnya KPDNHEP mengambil pendekatan sama untuk sekadar memberi amaran kepada peniaga-peniaga untuk memperbaharui lesen timbang mereka bukannya mengambil tindakan tegas mengeluarkan saman.
“Saya dimaklumkan ada saman sehingga RM1,000 dan hukuman penjara hingga sepuluh tahun, agak keras. Tetapi kadang-kadang kena lihat keadaan situasi hari ini apabila negara kita dilanda wabak COVID-19 ini,” katanya lagi.
Justeru, Armand yakin pihak kerajaan mendengar suara rakyat yang rata-rata menyatakan kekecewaan dan kekesalan apabila kedai mereka diarah tutup dan diambil tindakan secara tegas disebabkan isu tamat alat penimbang tersebut.
“Carilah penyelesaian yang terbaik untuk kedua-dua pihak baik kerajaan dan juga peniaga-peniaga,” ujarnya. – UMNO ONLINE