4 kakitangan hospital ditahan kes rasuah urus jenazah

SHAH ALAM: Empat lagi individu termasuk dua penolong pegawai perubatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah antara RM1,000 hingga RM4,000 setiap seorang bagi urusan berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Menurut sumber, empat individu yang ditahan masing-masing dua pembantu kesihatan berusia 35 dan 38 tahun serta dua penolong pegawai perubatan berusia 37 dan 41 tahun.

Katanya, dua suspek adalah pembantu kesihatan dan dua lagi adalah penolong pegawai perubatan berusia antara 35 dan 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang tadi di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.



Jelas sumber itu, kesemua suspek lelaki yang berkhidmat di salah sebuah hospital di negeri Selangor dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM300 bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya tiga daripada suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk mendapatkan perintah reman, manakala seorang lagi suspek yang merupakan penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun akan dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Pada 27 Mei lalu, dua pembantu kesihatan masing-masing berusia 40 dan 42 tahun direman lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes sama.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button