‘GRAND COALITION’ HANYA UNTUNGKAN PPBM UNTUK TERUS BERKUASA?

UNTUNGKAN SIAPA SEBENARNYA?

 

Tentangan yang ditunjukkan ahli Umno di peringkat bawahan terhadap cadangan menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menarik perhatian pemimpin Umno. Pelbagai komentar dan luahan tidak bersetuju Umno berkerjasama dengan PPBM dizahirkan bukan sahaja di media sosial malah turut dibawa ke mesyuarat cawangan Umno.



Menyingkap asas penolakan terhadap PPBM, emosi semasa diperkecilkan, dihina dan dikotak-katikkan masih bersisa kepada ahli Umno. Kewujudan PPBM sendiri yang hampir 99% keahliannya dari Umno dan kemudiannya berkerjasama dengan ‘musuh tradisi’ DAP sangat melukakan mereka. Bertahun lamanya doktrin menolak cauvanis dibenamkan dalam pemikiran oleh bekas pengerusi PPBM Tun Mahathir telah disucikan oleh PPBM demi kuasa. Malah tindakan Presiden PPBM yang pernah melabelkan Umno dengan pelbagai persepsi dan gelaran bukanlah mudah dilupakan. Sepanjang mereka bersama Pakatan Harapan, tekanan yang diberikan terhadap Umno dan pemimpin Umno bukan calang-calang. Itu ketika PPBM masih dalam ulitan Pakatan Harapan namun apabila mereka (PPBM) mengambil keputusan keluar PH, Umno dicari manakala Pas dirayu agar berkerjasama bagi membentuk kerajaan sekaligus mengangkat Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Malangnya selepas terbentuk kerajaan yang dinamakan Perikatan Nasional, pemimpin PPBM masih memandang rendah terhadap ‘bantuan’ yang dihulurkan Umno dan Pas. Keceluparan pemimpin PPBM terhadap BN dan PAS masih didendangkan malah beberapa kenyataan melekehkan UmnoPas dikeluarkan oleh mereka. Walau kemudiannya mereka meminta maaf atas ketelanjuran, kerosakan telah berlaku sehingga ada pandangan menyatakan cara PPBM tidak ubah seperti PH (buat salah kemudian minta maaf dan mahu semua melupakan).



Gabungan Umno/BN dan PAS membentuk persefahaman yang padu sebagai Muafakat Nasional telah berjaya membuka mata ramai rakyat mengenai kepincangan PH. Menghampiri genap ulangtahun Muafakat Nasional yang ditubuhkan bagi menghadapi PRU15 untuk merampas semula pentadbiran negara digeruni PPBM. Lantas sebagai jalan menyelamatkan kedudukan mereka sebagai ‘Status Quo’ dalam kerajaan maka satu kerjasama perlu dibentuk segera dan harus di bawah telunjuk mereka? Ini kerana langkah Tun Mahathir yang melancarkan sebuah parti baru dinamakan PEJUANG telah banyak menghakis kepercayaan ahli PPBM terhadap Presiden mereka hingga ada sindiran berikutan tindakan keluar parti beramai-ramai dikhuatiri akan menyebabkan yang kekal dalam PPBM hanyalah Muhyiddin dan Faizal Azumu selaku Presiden dan Timbalan presiden.

Oleh demikian kemasukan PPBM dalam Muafakat Nasional perlu disegerakan bagi menghalang kehilangan sokongan untuk Muhyiddin dihentikan. Gambaran naratif utama mereka hanyalah ‘KUASA’ dan yang berkisar mengenai kepentingan survival parti itu sahaja. Penentuan kerusi pada PRU15 juga dipercayai hanya akan menyebelahi PPBM bersama ahli yang melompat dari parti lain. Sebagai rekod pada PRU14, PPBM hanya memenangi 13 kerusi di Parlimen dari 222 yang dipertandingkan dimana kemudiannya menerima kemasukan ahli lain (Melompat Parti) dan kini dikuatkan lagi oleh Azmin Ali berserta bekas PKR.



“Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita. Dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, UMNO, Pas dan parti-parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional, sebahagian besar sokongan rakyat telah berada di pihak kita,”- MUHYIDDIN YASSIN.

Inilah yang membimbangkan akar umbi bukan sahaja Umno tetapi akar umbi Pas. Bagaimanapun sifat ‘Wala’ ahli Pas terhadap keputusan pimpinan mereka menerima apa sahaja yang diputuskan, berbeza dengan Umno yang secara jelas dan terang menghantar isyarat penolakan mereka.

Artikel Berkaitan – TOK MAT AMBIL PERHATIAN SUARA AKAR UMBI UMNO



Akhirnya semalam pimpinan Umno akur dengan perdebatan dan perasaan akar umbi apabila Timbalan Presiden dan Presiden menyatakan akan mengambil kira sensitiviti akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan. Sudah pasti pimpinan Umno enggan menjerumuskan parti dalam konflik yang besar memandangkan perlu fokus untuk PRU15.

Baca – MPT PPBM DAKWA PEJUANG AKAN SERTAI MUAFAKAT NASIONAL

Apakah ‘Grand Coaliation’ yang dimaksudkan Muhyiddin akan memberi manfaat kepada Muafakat Nasional kelak? Mahukah PPBM memberi kuasa pembahagian kerusi kepada Muafakat Nasional untuk menentukan keadilan buat gabungan akan saksama dan diterima semua pihak? Ini persoalan besar yang perlu ditangani dengan baik kedua-dua pihak samada Umno mahupun PAS. Tersilap langkah dalam keseronokan beroleh kuasa akan menjerumuskan 2 parti ini sekali lagi ke kerusi pembangkang atau lebih buruk akan menghilangkan terus sokongan akar umbi terhadap parti.



Tulisan – Awaluddin Mansor, Jerai Kedah

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button