Tak Tahan Dah

PENDUDUK Shah Alam beratur untuk mendapatkan air bersih.

Shah Alam: “Sekurang-kurangnya tiga kali setahun taska ini akan terputus bekalan air. Masalah ini sudah berlarutan sejak lima tahun lalu,” ujar Penyelia Kanan Bunga Raya Playschool, Murni Abdullah yang kecewa dengan masalah terbaharu pencemaran Sungai Selangor.

Lebih menyukarkan tahun ini, mereka menghadapi situasi ini dalam suasana negara berdepan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Murni berkata, kebersihan taska menjadi keutamaan mereka demi kesihatan dan keselamatan 90 anak-anak yang dijaga dan 20 kakitangan di situ.



Katanya, taska perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan iaitu dibersihkan tiga kali sehari, lantai perlu dimop, perabot perlu dibersihkan dan setiap peralatan mainan perlu disanitasi.

“Semua itu memerlukan air yang banyak, tetapi bila berlaku masalah tiada air seperti ini, ia menyukarkan kami namun kami tetap kena usahakan untuk dapatkan air.

“Hari ini (semalam) saya datang bersama beberapa kakitangan untuk mengambil air di sini bukan sahaja untuk bersihkan taska, tetapi juga untuk kegunaan kakitangan terutama berwuduk dan mandi.

“Apabila tiada air, semua jadi lebih rumit dari segi masa dan tenaga, ulang alik ambil air, hendak isi semula, juga keluar kos lebih berbanding waktu ada air,” katanya.



Murni bersama kakitangannya antara penduduk sekitar Shah Alam yang menunggu giliran untuk mengambil air di Pusat Khidmat Setempat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) depan Dewan Bola Tampar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 4 di sini, semalam.

Murni berkata, pihaknya tetap meneruskan operasi seperti biasa walaupun sudah dua hari tiada air.

“Khamis dan Jumaat lalu, taska beroperasi seperti biasa walaupun tiada air, sebab ibu bapa penjaga anak-anak yang kami jaga bekerja seperti biasa, jadi mereka kena hantar anak di taska. Cuma sepanjang tempoh tiada air ini, setiap ibu bapa dan penjaga perlu menyediakan air sekitar 5 liter hingga 10 liter untuk keperluan mandi anak mereka dua kali sehari dan membersihkan anak-anak mereka sama ada buang air besar atau kecil.

“Air untuk minum, masak makanan mereka, buat susu dan keperluan taska, kami sediakan. Ibu bapa semua faham dan ada yang sediakan bekalan air lebih kerana mereka tahu keperluan anak mereka,” katanya.



Bagaimanapun katanya, taska tidak akan beroperasi sekiranya pihak kementerian mengeluarkan arahan dan surat rasmi supaya taska ditutup atas sebab-sebab tertentu.

sumber

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button