Dicekup berlawan main bunga api di Lembah Sireh

Oleh – Syeikh Baran


Dicekup berlawan main bunga api di Lembah Sireh
Tangkap layar video kejadian terbabit yang tular di media sosial.

Empat lelaki dicekup selepas berlawan bermain bunga api sehingga video perbuatan mereka itu tular di media sosial pada awal pagi sambutan 1 Syawal di sekitar kawasan Lembah Sireh di sini semalam.

Kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 22 hingga 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 pagi selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Kota Bharu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian bunyi bising bunga api di sekitar sebuah pasar raya di kawasan tersebut.



Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, sepasukan polis dari IPD Kota Bharu telah digerakkan ke lokasi kejadian selepas tular satu video berdurasi 5 minit 16 saat di media sosial yang memaparkan kejadian sekumpulan lelaki sedang bermain bunga api.

Menurutnya, dua kumpulan berlawan bermain bunga api apabila satu pihak berada di kawasan tepi sebuah pasar raya manakala satu pihak lagi berada di atas Jambatan Sultan Yahya Petra.

“Sehubungan itu, keempat-empat lelaki itu ditahan untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, mereka dibebaskan selepas diambil keterangan dan satu amaran keras dikeluarkan terhadap keempat-empat lelaki itu agar tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Mohd. Rosdi memberitahu, siasatan di lokasi kejadian mendapati, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, bermain bunga api sehingga mengganggu ketenteraman atau mendatangkan bahaya kepada orang awam adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Individu yang sengaja mengakibatkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat untuk menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207),” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading