AWAS MAK BUYUNG

KESIHATAN gigi amat penting untuk setiap orang apatah lagi wanita yang sedang hamil.

Menurut Dr Anas Ramadhan Abdul Halim dari Klinik Pergigian The Dentist Hub, Shah Alam, Selangor bagi wanita kesihatan dan penjagaan gigi amat penting ketika mengandung.

“Seperti yang kita tahu, ada dalam kalangan ibu mengandung yang sering mengalami ‘morning sickness,’ bengkak kaki, sakit belakang dan sakit kepala yang melampau.



“Situasi ini menyebabkan mereka tidak dapat menjaga kesihatan gigi dengan baik sekali gus mengundang risiko masalah gigi,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, bagi wanita hamil, disebabkan berlakunya perubahan hormon iaitu peningkatan hormon estrogen dan progesteron mengakibatkan mereka sering muntah, mual, perut bergas, pedih perut, pening dan sebagainya

“Keadaan ini boleh menyebabkan plak gigi terbentuk dan menjurus kepada gigi berlubang serta sakit gigi,” katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa masalah gigi yang sering dihadapi ibu hamil antaranya gingivitis kehamilan atau lebih dikenali sebagai radang gusi ibu hamil.



RAWATAN untuk ibu hamil sesuai ketika berada di trimester kedua.
RAWATAN untuk ibu hamil sesuai ketika berada di trimester kedua.

“Mulut boleh dipengaruhi perubahan hormon ketika mengandung. Sesetengah wanita mengalami keadaan yang dikenali sebagai gingivitis kehamilan, sejenis keradangan pada gusi yang boleh menyebabkan bengkak dan mudah berdarah apabila memberus atau menggunakan flos.

“Jika tidak dirawat, gingivitis boleh menyebabkan penyakit gusi yang lebih serius. Oleh itu, doktor gigi mungkin mengesyorkan pembersihan lebih kerap untuk mengelakkannya lebih teruk,” katanya.

Selain itu, Dr Anas Ramadhan berkata, ibu hamil juga lebih cenderung berdepan risiko gigi berlubang kerana beberapa sebab termasuk makan lebih banyak karbohidrat daripada biasa.

“Ini boleh menyebabkan kerosakan. Mual di pagi hari dapat meningkatkan jumlah asid yang terkena mulut anda hingga boleh memakan bahagian luar gigi anda (enamel).



“Refluks asid akibat muntah boleh mendedahkan gigi menjadi lebih terdedah kepada gigi berlubang,” katanya.

Mengulas lanjut, memberus dua kali sehari dan melakukan flos mungkin terabai ketika kehamilan kerana banyak sebab, termasuk mual pagi, refleks muntah yang lebih sensitif, gusi lembut dan keletihan.

 

REFLUKS asid akibat muntah menjadi penyebab masalah gigi berlubang.
REFLUKS asid akibat muntah menjadi penyebab masalah gigi berlubang.

“Amat penting untuk menjaga rutin anda, kerana tabiat buruk semasa kehamilan dikaitkan dengan kelahiran pra matang, sekatan pertumbuhan intrauterin, diabetes kehamilan dan preeklamsia,” katanya.



Jelasnya, terdapat juga dalam kalangan ibu hamil berdepan ketumbuhan kehamilan (Pregnancy Tumor).

“Pertumbuhan tisu yang dipanggil tumor kehamilan muncul di gusi, paling kerap pada trimester kedua.

“Ia bukan barah tetapi hanya pembengkakan yang berlaku paling kerap antara gigi. Ia mungkin berkaitan dengan plak berlebihan dan gusi mudah berdarah serta mempunyai penampilan seperti kemerahan.

“Keadaan itu biasanya hilang selepas bayi anda dilahirkan, tetapi jika perlu berbincanglah dengan doktor gigi anda untuk membuangnya,” katanya.



Terdapat ubat-ubatan yang sesuai digunakan untuk merawat masalah gigi yang dihadapi ibu mengandung.

CONTOH kerosakan gigi yang dialami ibu hamil.
CONTOH kerosakan gigi yang dialami ibu hamil.

“Pastikan doktor gigi diberitahu ubat-ubatan preskripsi dan ubat ‘over-the-counter’ kerana ini akan membantu doktor gigi menentukan jenis preskripsi yang sesuai bagi ibu mengandung.

“Doktor gigi boleh berunding dengan doktor perubatan untuk memilih ubat-ubatan seperti ubat penghilang rasa sakit atau antibiotik yang boleh diambil dengan selamat ketika kehamilan.

“Jadi pastikan berbincang mengenai ubat-ubatan yang dicadangkan doktor perubatan dan doktor gigi sebelum mengambilnya kerana ada ubat tertentu yang boleh menyebabkan keguguran kandungan,” katanya.



Dalam pada itu, rawatan seperti cabutan gigi, rawatan akar, surgeri geraham bongsu dan apa-apa rawatan membabitkan pendarahan dalam mulut hendaklah dilakukan ketika trimester kedua sahaja.

hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button