Sambal Tumis Baby Sotong
Sekarang kita masuk pula bab resepi. Kalau sotong, memang saya suka masakan yang simple sahaja. Selain goreng garam kunyit atau masak kicap, saya suka menyediakan sotong sambal tumis.
Bukan sahaja mudah tapi yang penting rasanya sedap. Cuma kena diperhatikan cara penyediaannya supaya sambal kita tidak terlalu berair. Kita boleh samada masak dulu sotong sehingga air sotong keluar atau sambal dimasak yang agak kering sebelum dimasukkan sotong yang kemudiannya akan mengeluarkan air.
Jom layan resepi di bawah ini dan saya juga ada sediakan video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…
Sambal Tumis Baby Sotong
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
500 gram baby sotong
3 sudu besar cili kering kisar
1 biji bawang besar – hiris
1 keping asam keping
1 sudu besar gula
1 1/2 sudu kecil garam
Minyak
Bahan kisar:
4-5 biji bawang merah
3-4 ulas bawang putih
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga cili garing.
Masukkan gula dan kacau sehingga sambal berwarna sedikit gelap.
Masukkan asam keping dan sotong. Kacau rata. Masukkan garam dan bawang besar.
Kacau sehingga bawang besar lembut dan sambal terbit minyak. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api.
Nota:
Saya tak masukkan air kerana sotong akan mengeluarkan air.
https://www.aziekitchen.com/2020/09/sambal-tumis-baby-sotong.html