Berpuluh terbunuh di Vietnam, Kemboja akibat banjir
HANOI: Hampir 40 orang maut di Vietnam dan Kemboja serta ramai lagi hilang, termasuk penyelamat berikutan hujan lebat yang berpanjangan dan banjir kilat ketika ribut tropika Nangka menuju ke arah pantai Vietnam.
Hujan lebat sejak awal Oktober menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa wilayah di Vietnam tengah dan ramai yang hilang di barat Kemboja, menurut pegawai dan media negara itu.
Banjir dijangka bertambah buruk dalam beberapa hari akan datang dengan ribut tropika Nangka dijangka membawa lebih banyak hujan dan tanah runtuh di Vietnam.
Ribut tropika Nangka dengan kelajuan angin hingga 100 kilometer sejam membawa hujan lebat hingga 400 milimeter di beberapa bahagian utara dan tengah Vietnam dari esok hingga Jumaat, menurut agensi cuaca.
Banjir berterusan itu meragut sekurang-kurangnya 28 orang di Vietnam dan 11 di Kemboja, di mana hampir 25,000 rumah dan 83,027 hektar tanaman rosak, menurut media tempatan.
Pihak berkuasa pengurusan bencana Vietnam mengatakan lebih 130,000 rumah terjejas, manakala 17 pekerja pembinaan hilang berikutan tanah runtuh di tapak projek empangan tenaga hidro di wilayah Vietnam tengah Thua Thien Hue.
Seramai 13 orang penyelamat dihantar untuk menyelamatkan pekerja yang hilang, lapor media kerajaan.
Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc juga mengarahkan Kementerian Pertahanan untuk menghantar lebih banyak pasukan penyelamat ke lokasi tanah runtuh.
Sehingga pagi ini, pasukan penyelamat masih tidak dapat sampai ke lokasi berikutan kenaikan paras air tinggi, hujan lebat dan tanah runtuh. – AGENSI