Suspek utama rogol beramai-ramai di Pakistan didakwa

Sebuah kenderaan polis mengiringi kenderaan yang membawa suspek utama kes rogol beramai-ramai ketika meninggalkan mahkamah Lahore, Pakistan. - Foto EPA
Sebuah kenderaan polis mengiringi kenderaan yang membawa suspek utama kes rogol beramai-ramai ketika meninggalkan mahkamah Lahore, Pakistan. – Foto EPA

LAHORE: Seorang lelaki Pakistan hari ini didakwa sebagai suspek utama dalam kes rogol beramai-ramai terhadap seorang wanita di tepi jalan raya hingga mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara.

Mangsa mengatakan dia dirogol di hadapan dua anaknya selepas keretanya kehabisan minyak berhampiran timur bandar Lahore bulan lalu.

Mahkamah Lahore memerintahkan Abid Ali Malhi, yang diberkas semalam, ditahan, menurut jurucakap ketua polis bandar itu.

Malhi juga mempunyai sekurang-kurangnya 10 kes lain yang didaftarkan oleh polis ke atasnya.



Protes terhadap serangan ke atas wanita terbabit meningkat selepas ketua polis Lahore menyalahkan mangsa dan mengatakan wanita itu seharusnya tidak memandu sendirian.

Kes itu mendorong Perdana Menteri, Imran Khan meminta pelaku seks digantung di depan umum atau dimandulkan secara kimia, suatu proses yang membabitkan penggunaan dadah untuk mengurangkan libido seseorang.

Pemerkosaan sangat sukar untuk diadili di Pakistan, di mana mangsa wanita sering difitnah dan diperlakukan sebagai warga negara kelas dua.

Suspek kedua, Shafqat Ali yang menurut polis mengaku melakukan jenayah itu, masih dalam tahanan. – AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button