Syamsul diancam keselamatan keluarga

Syamsul Yusof tidak boleh bertolak ansur membabitkan keselamatan isteri dan anak. - Foto Zaidi Mohamad
Syamsul Yusof tidak boleh bertolak ansur membabitkan keselamatan isteri dan anak. – Foto Zaidi Mohamad

 

KUALA LUMPUR: Belum reda isu keretakan rumah tangga dan saman terhadap selebriti Youtuber, pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof membuat laporan polis mengenai ancaman diterima menerusi laman Instagram.

Anak kepada penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati, petang tadi.

Pengarah filem Munafik itu ditemani dua peguamnya, Aizul Rohan Anuar dan Saiful Dzulhemi Zulkifli daripada Tetuan Saiful, Roger & Co.



“Sebagai selebriti, saya sudah terbiasa menerima komen negatif dan ugutan. Saya tak ambil peduli setakat mesej ‘haters’.

“Tetapi, saya anggap kali ini melampau berikutan membabitkan soal maruah, keselamatan anak dan isteri. Saya menerima mesej langsung (DM) menerusi satu akaun IG.

“Saya tak pasti bila mesej ini dihantar. Saya hanya menyedari mesej ini jam 10 malam, semalam. Saya tidak tahu agenda dan atau pernah bermusuh dengan saya atau sebaliknya. Tetapi, perkara ini sudah melampau dan saya perlu ambil tindakan demi keluarga,” katanya.

 



Syamsul Yusof bersama peguamnya, Aizul Rohan Anuar (kanan) dan Saiful Dzulhemi Zulkifli. - Foto Zaidi Mohamad
Syamsul Yusof bersama peguamnya, Aizul Rohan Anuar (kanan) dan Saiful Dzulhemi Zulkifli. – Foto Zaidi Mohamad

Syamsul berkata, kecaman dan mesej semakin menjadi selepas isu rumah tangga bersama isteri, Puteri Sarah Liyana menjadi bualan.

“Kecaman semakin teruk sejak masalah rumah tangga menjadi perhatian. Banyak mesej diterima daripada akaun palsu hingga ada yang berani mengugut saya,” katanya sejurus selesai membuat laporan polis.

Syamsul berkata, dia cuba bersikap baik dan tenang, selama ini. Namun, ada kalanya tindakan netizen keterlaluan dan menguji kesabarannya.

“Saya sudah nekad tiada lagi ‘Mr Nice Guy’. Saya perlu mempertahankan diri dan akan cari orang yang membuat ugutan ini. Kalau tak puas hati, apa kata jumpa saya depan-depan.



“Tak perlulah membabitkan anak dan isteri. Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak kerana tiada bukti. Cuma, selepas membalas mesejnya, akaun berkenaan sudah dinyahaktif,” katanya.

Katanya, isterinya pernah berdepan detik cemas apabila diekori orang yang tidak dikenali, beberapa bulan lalu.

“Isteri memandu dan menyedari diekori sebuah kereta, beberapa bulan lalu. Bagaimanapun, isteri berjaya memboloskan diri dan sempat mengecam kereta berkenaan.

“Bagaimanapun, tak tahu siapa dan motif kereta berkenaan mengekorinya,” katanya.



Mengulas status rumah tangga yang dikatakan bergolak, Syamsul mengharapkan peminat mendoakan yang terbaik buatnya dan isteri.

Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof menjawab isu dakwaan rumah tangganya goyah selepas Puteri Sarah dilihat muncul di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, baru-baru ini.

“Kami masih dalam proses memperbaiki hubungan. Apapun, Puteri Sarah isteri yang baik. Saya pula jenis jika fikir soal kerja akan menjadi obses.

“Saya tak pandai buat kerja sambil lewa. Saya jenis fokus,” katanya



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button