Putus tangan, hancur jari bancuhan bedil bola, paip PVC meletup

KUALA TERENGGANU: Letupan mercun yang menyebabkan seorang lelaki parah di Kuala Nerus, di sini, awal pagi semalam berlaku ketika mangsa sedang membancuh sendiri bahan itu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, dengan mangsa yang berusia 27 tahun disahkan mengalami kecederaan serius akibat kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi ketika mangsa membancuh mercun buatan sendiri menggunakan mercun bola dan paip polivinil klorida (PVC).



“Ia mengakibatkan letupan besar dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) serta kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan ia kes kedua berlaku di Terengganu tahun ini,” katanya.

Mengulas lanjut keadaan mangsa, Rohaimi berkata, lelaki itu putus pergelangan tangan kiri, manakala beberapa jari kanannya juga hancur dan kecederaan lain di bahagian badan.

“Buat masa sekarang, usaha mengesan pengedar dan penjual mercun kepada mangsa sedang dijalankan,” katanya.



Dalam pada itu, Rohaimi berkata, sejumlah 17 kes membabitkan 18 tangkapan berkaitan mercun dijalankan pihaknya dalam tempoh 23 Mac lalu hingga kelmarin yang membabitkan rampasan bernilai RM18,835.

Justeru, beliau memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang didapati mengedar atau menjual bunga api dan mercun tanpa permit dengan tindakan akan diambil mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Semalam, BH Online NSTP melaporkan seorang lelaki berusia 27 tahun parah selepas dipercayai bermain mercun yang diubah suai dalam kejadian di Kampung Gong Pak Damat di Kuala Nerus.



Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail, berkata kejadian disedari abang mangsa selepas terdengar letupan kuat berdekatan rumah.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button