WANY HASRITA LEGA & BERSYUKUR UJIAN SWAB COVID-19 NEGATIF
“Lega rasanya apabila keputusan ujian adalah negatif,” tutur penyanyi Wany Hasrita apabila kerisauannya lenyap sebaik disahkan negatif wabak COVID-19 selepas menjalani ujian swab di sebuah pusat perubatan di ibu negara, Rabu lalu.
Wany atau nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 27, berkata, dia terpaksa menjalani ujian saringan selepas seorang teman mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif wabak berkenaan.
“Baru-baru ini, seorang kenalan kepada kawan Wany di mana kami sering bermain badminton bersama, disahkan positif COVID-19. Berikutan individu terbabit boleh dianggap sebagai kontak rapat, teman Wany itu perlu menjalani ujian swab bagi memastikan dirinya bebas daripada wabak berkenaan.
Klik untuk gambar besar
“Wany dan sahabat itu sering bermain badminton bersama. Jadi, secara tidak langsung, situasi itu menimbulkan kegusaran. Justeru, Wany juga memutuskan menjalani ujian saringan. Ketika itu, Wany sangat risau memikirkan apakah yang akan berlaku jika terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini,” katanya.
Wany berkata, dia menjalani ujian swab, Selasa lalu dan keputusan diperoleh, keesokannya. Pernah mengalami serangan panik ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu, Wany mengaku jiwanya tidak tenang sebaik mendapat tahu kawannya itu mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19.
“Wany jadi paranoid seolah-olah dijangkiti virus berbahaya itu. Setiap kali Wany periksa suhu badan, angka yang ditunjukkan semakin naik. Lebih membuatkan diri risau apabila mengenangkan keadaan ibu yang menetap bersama Wany.
“Kita semua sedia maklum golongan berusia adalah antara mereka yang berisiko diserang virus ini. Berikutan kerisauan melampau itu, tubuh Wany turut memberi reaksi negatif. Tiba-tiba tekak jadi tidak selesa, badan jadi panas dan pelbagai perkara yang bukan-bukan mula bermain di fikiran.
“Selepas merujuk kepada seorang doktor yang juga rakan sebilik ketika bergelar pelajar dahulu, dia beritahu itu hanyalah serangan kecemasan. Sahabat ini beritahu Wany tidak menunjukkan gejala yang boleh dikaitkan dengan virus itu,” katanya.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Wany Hasrita
UMNO DIGESA BUAT LAPORAN POLIS PENYEBARAN SURAT SOKONGAN PALSU
KERTAS PUTIH FELDA – AZMIN ALI BENTANG KERTAS SKRAP? (EPISOD 2)