Gelombang kedua COVID-19, OPEC+ bincang pemotongan pengeluaran minyak

MOSCOW, 19 Okt — Menteri-menteri tenaga negara OPEC+ akan bermesyuarat pada Isnin untuk membincangkan pematuhan perjanjian pemotongan pengeluaran minyak dan keadaan pasaran yang kini dibayangi gelombang kedua pandemik COVID-19, lapor Agensi Berita Sputnik.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bersama Menteri OPEC+ (JMMC) akan menumpukan mengenai isu pemotongan pengeluaran minyak yang diperkenalkan pada April untuk menstabilkan pasaran.

Negara-negara berkenaan pada masa ini mengurangkan 7.7 juta tong sehari (mbd) secara kolektif sehingga 31 Disember. Selepas itu, pengeluaran minyak dirancang untuk dikurangkan lagi sehingga 5.8 mbd.



Memandangkan pasaran dan harga minyak masih tidak stabil, ada pihak membuat spekulasi OPEC+ harus mengurangkan lagi pengeluaran ketika masyarakat global menghadapi gelombang kedua COVID-19 dengan beberapa langkah sekatan pergerakan  mula diperkenalkan semula di seluruh dunia.

Tetapi setakat ini, menteri OPEC+ komited mengurangkannya secara bertahap.   Menteri Tenaga Rusia Alexander Novak berkata walaupun gelombang kedua, OPEC+  komited untuk meningkatkan pemotongan pengeluaran minyak secara beransur-ansur sambil mematuhi kuota.

Pematuhan terhadap had pengeluaran dijangka bakal mendominasi agenda mesyuarat JMMC.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), OPEC+ pada bulan lalu telah meningkatkan pematuhan terhadap pemotongan minyak, menjadi 103 peratus berbanding 98 peratus pada Ogos. Tetapi Gabon dan Congo masih gagal memotong pengeluaran ke tahap yang diperlukan perjanjian berkenaan.



OPEC+ juga akan membincangkan prospek permintaan minyak pada 2020 dan 2021.

Bulan ini, ramalan OPEC 2020 tetap tidak berubah kerana kartel menjangkakan penguncupan 9.5 mbd. Bagaimanapun, pertubuhan itu membuat semakan semula ramalan pertumbuhan permintaan pada 2021 menjadi 6.5 mbd.

Sementara itu, IEA menjangkakan permintaan minyak global akan menurun 8.4 mbd tahun ini dan meningkat 5.5 mbd pada 2021, menurut ramalan terkini.

— BERNAMA



UMNO DIGESA BUAT LAPORAN POLIS PENYEBARAN SURAT SOKONGAN PALSU

UMNO DIGESA BUAT LAPORAN POLIS PENYEBARAN SURAT SOKONGAN PALSU



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button