Jangan biar kemelut dalaman MGF berpanjangan – Jurulatih

AddThis Sharing Buttons

Share to WhatsAppShare to More

19/10/2020 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt  — Kemelut dalaman yang melanda Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) harus diselesaikan segera kerana dikhuatiri bakal menjejaskan masa depan sukan itu, termasuk melunturkan semangat atlet.



Ketua jurulatih gimnastik artistik wanita negara Ng Shu Wai merayu agar badan induk itu segera mencari jalan penyelesaian biarpun konflik tersebut tidak menggugat latihan atlet yang kini di bawah program kendalian Majlis Sukan Negara.

Bagaimanapun, beliau berkata konflik itu lambat-laun akan merosakkan pembangunan sukan gimnastik jika berlarutan dan tidak ditangani dengan baik.

“Dari segi barisan jurulatih, kita tidak akan campur tangan dalam masalah dalaman MGF tetapi cadangan saya, pengurusan MGF kena selesaikan masalah dalaman sesama mereka.

“Kalau masalah ini tidak diselesaikan, atlet akan sentiasa tanya MGF ada masalah? Sudah pasti lama- kelamaan ia memberi kesan kepada atlet,” katanya kepada Bernama hari ini.



-MGF berdepan pergolakan selepas tujuh ahli gabungannya menyatakan usul hilang kepercayaan terhadap presidennya, Rachel Lau dan menggesa diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Bagaimanapun, Lau dalam jawapan balas berkata MGF tidak mempunyai klausa ‘undi tidak percaya’ sekali gus membayangkan isu dalaman badan induk itu tidak akan berkesudahan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Ng berkata perkara itu tidak wajar berlaku ketika MGF sepatutnya memberi tumpuan penuh kepada ratu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi yang akan membuat penampilan di pentas Sukan Olimpik Tokyo, tahun depan.

— BERNAMA



Pengambilalihan Saham:- Adakah FGV Akan Senasib Dengan DRB HICOM?

UMNO DIGESA BUAT LAPORAN POLIS PENYEBARAN SURAT SOKONGAN PALSU



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button