Malaysia bakal isytihar darurat?

KUALA LUMPUR, 23 Okt — Segalanya masih belum terjawab di sebalik spekulasi yang tersebar tentang kerajaan bakal mengisytiharkan darurat hari ini.

Bermula dengan mesyuarat khas Kabinet pada kira-kira 9.30 pagi tadi di bangunan Perdana Putra, Putrajaya yang dilaporkan turut dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

Semua menteri dilihat berdiam diri mengenai isu yang dibincangkan pada mesyuarat selama dua jam itu, yang berlangsung dua hari selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri pada Rabu.

Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan.



Sesetengah organisasi media mula membuat spekulasi tentang kemungkinan langkah-langkah darurat, manakala yang lain pula menjangkakan perisytiharan darurat di negara ini di tengah-tengah ketidaktentuan politik serta penularan pandemik COVID-19.

Spekulasi itu juga dibincangkan secara meluas oleh netizen menerusi platform media sosial masing-masing.

Desas-desus itu bertiup semakin kencang apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Affendi kemudian berlepas ke Pahang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Muhyiddin dilihat memasuki perkarangan Istana Abdulaziz di Kuantan pada 4.40 petang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, dan hanya keluar pada kira-kira 7.10 malam.



Setakat berita ini ditulis masih tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung perkara itu, baik oleh Istana Negara mahupun Pejabat Perdana Menteri, menyebabkan sebilangan besar rakyat semakin tertanya-tanya dan organisasi media pula terus menyiarkan laporan bersifat spekulasi mereka.

Semua ini berlaku dalam tempoh tidak sampai 48 jam selepas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan ‘gencatan politik’ sebagai menunjukkan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sedang berusaha membantu rakyat ketika negara mendepani pandemik COVID-19 dan cabaran ekonomi.

Sebelum ini, “suhu” situasi politik negara agak “panas” apabila UMNO yang mempunyai 39 daripada 222 kerusi Parlimen mengancam untuk menarik balik sokongannya terhadap kerajaan PN beberapa minggu selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau memperoleh sokongan “kukuh dan meyakinkan” untuk mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan persekutuan.

Sementara itu, FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 4.16 mata ketika ditutup petang ini kepada 1,494.64 berbanding 1,498.80 semalam.



Penganalisis berkata penyusutan pasaran hari ini ialah susulan ketidaktentuan yang menyelubungi ekonomi dan politik negara dengan pelabur runcit bertindak meninggalkan pasaran.

Kesemua ini berlaku ketika negara terus merekodkan kes baharu harian COVID-19 pada tiga angka, katanya.

Pakar Perlembagaan Persekutuan Prof Dr Shamrahayu A. Aziz berkata darurat bermaksud suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa.

Beliau berkata perisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.



Perlembagaan membenarkan perisytiharan darurat melalui Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata tiga asas atau alasan yang boleh digunakan oleh Yang di-pertuan Agong bagi membuat perisytiharan darurat iaitu ancaman ke atas keselamatan negara atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button