Pelari menara Malaysia cuba pecah rekod dunia

KUALA LUMPUR 29 Okt — Pelari menara nombor dua dunia Soh Wai Ching, secara rasmi mengumumkan hasrat untuk mencatatkan namanya dalam ‘Guinness World Record’ (GWR), dalam percubaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 18 Nov ini.

Atlet Malaysia berusia 26 tahun itu, akan membuat percubaan memecahkan rekod dalam cabaran ‘Greatest Vertical Height Stair Climbing in One Hour (Male)’ (Pendakian Tangga Menegak Terhebat dalam Satu Jam – Lelaki)  dalam acara yang akan diadakan di Hotel Four Seasons Place Kuala Lumpur, Jalan Ampang,di sini, sempena sambutan hari GWR.

Dengan ketinggian 342.5 meter, hotel mewah keempat tertinggi di dunia dan bangunan ketiga tertinggi di Malaysia (setelah Menara Berkembar Petronas dan The Exchange 106) itu akan menjadi platform kepada pelari menara nombor satu Asia itu, membuktikan kehebatannya.



Wai Ching mempunyai misi yang mencabar – iaitu melakukan larian memanjat tangga setinggi 1.3 kilometer (km) dalam tempoh sejam, bagi mengatasi rekod dunia 1.227 km yang dicatatkan rakyat Sepanyol, David Robles di Zaragoa, Sepanyol pada 20 Jan 2019.

Objektif utama acara itu bertujuan memberikan inspirasi dan memotivasi ahli-ahli sukan dan generasi muda, untuk terus berusaha dan berfikir di luar kotak dalam mencapai kejayaan, di sebalik pembatalan semua acara dan perlumbaan ketika dunia dilanda pandemik COVID-19.

“Wai Ching merupakan individu yang akan bangun ketika semua kemungkinan menentangnya. Walaupun ketika badannya sangat sakit atau otot kakinya sukar bergerak, kekuatan mindanya mampu mengatasi keletihan dan kesakitan itu. Beliau akan terus berjuang.

“Jika anda dapat melakukan demikian secara konsisten, anda akan menjadi pemenang. Keadaan itu merupakan sifat keduanya, yang mana dia akan terus melakukan tanpa terlalu berfikir. Rakyat Malaysia ini memang benar-benar layak menjadi pelari menara nombor satu dunia,” kata Naib Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia Ravinder Singh dalam satu kenyataan.



— BERNAMA

KERTAS PUTIH (FORENSIK) – AZMIN PERLU BERTANGGUNGJAWAB APA YANG BELIAU BENTANGKAN DI PARLIMEN

 



KERTAS PUTIH (FORENSIK) – AZMIN PERLU BERTANGGUNGJAWAB APA YANG BELIAU BENTANGKAN DI PARLIMEN

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button