Terhimpit di ibu kota

Kuala Lumpur: “Tidak semua gelandangan pemalas atau mengharapkan bantuan saja, sebaliknya mereka ialah golongan yang terhimpit dalam kehidupan di bandar raya.

“Mereka ini mempunyai pekerjaan namun tidak mampu untuk menyewa bilik berikutan faktor pendapatan yang kecil.”

Demikian penjelasan Pengasas Rumah Kebajikan Baitul Fiqh Haliza Abdul Halim, berhubung masalah gelandangan dan mengakui golongan ini mahu mengubah kehidupan harian jika diberi peluang.



Haliza berkata, ada dalam kalangan gelandangan ini yang mempunyai keluarga di kampung namun malu untuk menyatakan keadaan sebenar mereka kerana tidak mahu menambah kesedihan keluarga.

“Ada juga kalangan mereka ini ahli korporat namun menghadapi masalah kewangan atas pelbagai faktor.

“Kami di Baitul Fiqh melaksanakan pelbagai bentuk bantuan bermula daripada menyantuni mereka di jalanan sehingga kepada menganjurkan kelas akidah serta pengajian al-Quran dibantu tenaga pengajar pakar,” katanya.

Beliau berkata, ada juga kalangan gelandangan yang sudah mempunyai kerja stabil serta membaiki kehidupan dan kembali membantu rakan mereka yang masih bergelut.



“Alhamdulillah, kebanyakan gelandangan yang kami temui rajin bekerja serta berusaha namun faktor kewangan terhad memaksa mereka memilih jalanan sebagai rumah dan tempat tidur.

“Baitul Fiqh hanya menjadi pemudah cara buat mereka dan masyarakat awam juga perlu sama membantu.

“Walaupun memang tidak dinafikan ada gelandangan yang hanya mengharapkan bantuan, tetapi tidak ramai, kebanyakan mereka terhimpit dengan suasana kehidupan di bandar yang mencabar,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sangat mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak sama ada menyalurkan bantuan berupa wang tunai atau pembelian barangan tertentu untuk diagihkan kepada gelandangan.



Katanya, Baitul Fiqh juga menyantuni golongan gelandangan yang memerlukan bantuan perubatan sehingga kepada urusan pengebumian jenazah dengan pihak berkuasa.

Hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button