Razali cedera langgar jalan berlubang dapat ganti rugi RM721,000

Oleh – Syeikh Baran


Razali cedera langgar jalan berlubang dapat ganti rugi RM721,000
Gambar Hiasan

Seorang penunggang motosikal yang cedera selepas terjatuh ketika melalui jalan berlubang di Pasir Gudang, Johor, memperoleh RM721,000 selepas Mahkamah Sesyen Johor Bahru memerintahkan sebuah syarikat penyelenggara jalan membayar ganti rugi itu.

Hakim, Sazlina Safie membuat keputusan itu pada 28 Februari lalu, selepas mendapati Razali @ Mohd. Leey Subeh, 49, selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya terhadap sebuah syarikat yang dilantik kerajaan negeri untuk menyelenggara jalan berkenaan.



Berdasarkan alasan penghakiman yang di muat naik dalam sistem kehakiman pada 27 April lalu, Hakim Sazlina berkata, syarikat terbabit gagal memfailkan sebarang hujah bertulis atau lisan walaupun beberapa kali penangguhan sehingga tarikh keputusan dibuat.

Beliau berkata, plaintif berjaya membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian dan syarikat itu cuai sepenuhnya dalam kemalangan ini.

“Mahkamah boleh membuat kesimpulan bahawa dari tarikh kejadian (11 Februari 2021) sehingga kerja-kerja penggalian pada 29 September 2022, lubang itu kekal di tempat kejadian tanpa sebarang pembaikan, seperti yang diakui oleh semua saksi.

“Mahkamah mendapati isu jalan berlubang di tempat kejadian telah dibuktikan dan diakui oleh defendan.



“Syarikat itu juga mengemukakan kenyataan bercanggah dalam pembelaan mereka apabila pada mulanya mendakwa bahawa mereka tidak melihat sebarang jalan berlubang, tetapi kemudian menemui jalan berlubang yang disebabkan oleh kerja-kerja kemudahan awam,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah juga mendapati adalah munasabah mangsa gagal menyedari jalan berlubang berikutan jarak penglihatan yang terhad dan pencahayaan yang tidak mencukupi di kawasan perumahan pada waktu kejadian.

Oleh itu, mahkamah percaya defendan telah gagal dalam tugas mereka untuk menyelenggara jalan berkenaan dan mereka bertanggungjawab kepada plaintif di bawah Seksyen 7(3) Akta Prosiding Kerajaan 1956 (GPA).

Justeru plaintif memperoleh RM352,947.33 untuk ganti rugi khas dan RM368,000 untuk ganti rugi am.



Pada 11 Februari 2021, Razali dalam perjalanan dari Taman Cendana ke Taman Kota Masai, sehingga kemalangan berkenaan telah mengakibatkan plaintif terjatuh serta cedera di bahu kanan, lengan jari dan kepala.

Plaintif kemudian memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan dan kerajaan negeri sebagai responden pertama dan kedua, masing-masing atas kecederaan dan kerosakan yang dialaminya akibat kejadian itu.

Bagaimanapun pada 16 Mei 2022, plaintif telah menarik balik saman terhadap responden kedua (kerajaan negeri).

Berikutan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen itu, syarikat penyelenggaraan itu akan memfailkan rayuan penghakiman berkenaan di Mahkamah Tinggi.



Sumber – KOSMO! ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading