Nagorno-Karabakh: Shusha berjaya dibebaskan daripada penjajahan, kata Presiden Aliyev

BAKU, 8 Nov — Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, mengumumkan pada Ahad kota purba Shusha akhirnya berjaya dibebaskan daripada penjajahan, memetik laporan Agensi Berita Azerbaijan (Azertac).

“Shusha, yang ditawan selama kira-kira lebih 28 tahun, sudah dibebaskan! Shusha kini bebas! Kami kembali semula ke Shusha! Kami telah memperoleh kemenangan bersejarah ini di medan perang. Tarikh 8 November 2020 akan kekal dalam sejarah Azerbaijan buat selama-lamanya,” kata Ilham Aliyev dalam ucapannya.

Presiden Aliyev berkata kemenangan itu diraih di medan perang dan bukan di meja rundingan.



“Saya telah berulang kali mengatakan, di sebalik semua pernyataan, ada penyelesaian ketenteraan untuk konflik ini, konflik Armenia-Azerbaijan Nagorno-Karabakh, dan kami membuktikannya di medan perang hari ini. Hampir 30 tahun rundingan gagal membawa penyelesaian.

“Tanah milik kami yang mempunyai nilai sejarah berada di bawah jajahan selama hampir 30 tahun. Dalam proses rundingan, pihak Armenia hanya melengahkannya, memperkuat status quo dan mengekalkannya. Selama bertahun-tahun, Azerbaijan menerima banyak isyarat daripada pelbagai pihak mendesak kami untuk menangani situasi ini. Namun, dengan mempamerkan tekad, keberanian dan kemahuan politik, kami tidak menuju kepada perjanjian yang tidak memenuhi kepentingan rakyat Azerbaijan.

“Saya telah berulang kali menyatakan di pelbagai peringkat forum antarabangsa, mengambil semula hak dan wilayah kami menjadi tugas utama. Rundingan tidak membuahkan hasil. Mereka hanya cuba memperbodohkan kita, mereka hanya berusaha menidakkan isu itu.



“Kami membebaskan tanah kami daripada penjajah dengan mengorbankan nyawa dan darah rakyat, tentera dan pegawai kami. Kami usir penjajah daripada mendiami tanah kami.

“Menyampaikan berita gembira ini kepada rakyat Azerbaijan pada hari bersejarah ini mungkin merupakan detik paling bahagia dalam hidup saya,” tambah Presiden Aliyev.

Menurut kenyataan di laman web https://azer.com/ – yang disediakan untuk Bernama oleh Kedutaan Azerbaijan di Kuala Lumpur – Shusha, terletak di barat Azerbaijan, kota paling banyak terjejas dengan konflik Karabakh. Pada musim bunga 1992, seluruh penduduk, berjumlah puluhan ribu, melarikan diri apabila tentera Armenia mula memasuki kota berkenaan.

Agensi Anadolu melaporkan Shusha – yang diduduki tentera Armenia pada 8 Mei 1992 – sangat penting untuk membebaskan Nagorno-Karabakh, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian Azerbaijan. Ia terletak kawasan menuju ke Khankendi, bandar terbesar di rantau ini.



Konflik antara Azerbaijan dan Armenia bermula pada 1988 – tiga tahun sebelum pembubaran Kesatuan Soviet pada 1991. Pada 1992, perang berskala besar berlaku berlaku antara dua bekas negara Soviet itu sehingga gencatan senjata ditandatangani pada Mei 1994. Pada 1991 , etnik Armenia Nagorno-Karabakh mengisytiharkan kemerdekaan tetapi Republik Nagorno-Karabakh (NKR) yang diisytiharkan sendiri tidak diiktiraf oleh mana-mana negara di dunia.

Kawasan pergunungan Nagorno-Karabakh dan tujuh daerah sekitarnya merangkumi 20 peratus wilayah Azerbaijan diakui di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian Azerbaijan, tetapi berada di bawah kawalan pasukan etnik Armenia yang disokong Armenia.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menerima pakai empat resolusi, antara lain menyerukan pengunduran semua pasukan penjajah dari wilayah Azerbaijan. Kumpulan Minsk OSCE – yang dipengerusikan bersama oleh Perancis, Rusia, dan Amerika Syarikat – dibentuk pada 1992 untuk mencari penyelesaian konflik secara damai, tetapi tidak berhasil.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button