Polis murah hati batal 186 kesalahan trafik

Oleh – Syeikh Baran


Polis murah hati batal 186 kesalahan trafik
Orang ramai menyemak saman sempen Majlis Ngautim dengan OCPD yang diadakan di pekarangan Balai Polis Air Jernih, Kemaman.

Polis Kemaman membatalkan sebanyak 186 saman melibatkan kesalahan trafik bagi mendidik orang ramai dan memberi peluang untuk tidak lagi mengulangi lagi kesalahan sama.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pembatalan saman itu dibuat menerusi program ‘Majlis Ngautim Dengan OCPD, Hala Tuju Masa Depan Dan Kini Ke Arah Kemaman Aman Damai 2024’ yang bertujuan mengeratkan hubungan bersama masyarakat.



“Ada beberapa kategori kesalahan trafik yang dibatalkan bagi memberi peluang kepada masyarakat belajar dari kesalahan yang dilakukan.

“Bagaimanapun, terdapat saman yang tidak boleh dibatalkan seperti, memotong semasa lampu isyarat merah, tiada lesen memandu, status waran dan senarai hitam, status mahkamah, status perbicaraan, kemalangan, ops selamat, tiada nombor pendaftaran dan tiada insuran perlindungan kenderaan,” katanya.

Hadir sama pada program itu ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar, Ketua Balai Polis Air Jernih, Mohd Azmi Hussain serta pemimpin setempat.

Dalam pada itu, Hanyan berkata, orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan komuniti masing-masing bagi memastikan ia dapat dikekang.

Ujar beliau, mereka yang mempunyai maklumat boleh terus menghubungi ketua polis daerah atau mana-mana balai polis berdekatan.



“Maklumat anda semua amat diperlukan untuk kita sama sama mencegah jenayah tanpa rasa jemu dan putus asa,” katanya pada program yang diadakan di sini pada malam Sabtu.

Majlis Ngautim Dengan OCPD dijadualkan akan diadakan di Balai Polis Pasir Gajah (22 Januari), Balai Polis Kerteh (25 Januari), Balai Polis Kijal (26 Januari) dan Balai Polis Cukai (27 Januari) pada jam 9 malam.

Sumber – Sinar Harian




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading