‘Gadai maruah untuk hidup mewah’
Penguat kuasa undang-undang jadi petualang sindiket jenayah.
Dalam tempoh dua bulan, puluhan penguat kuasa undang-undang direman bagi membantu siasatan kes Macau Scam, selain sindiket berkaitan warga asing.
Bukan saja eksekutif, malah bakal haji juga rugi ditipu Macau Scam. Negara juga dilanda masalah sosial babitkan warga asing. Mengapa dan bagaimana ia berlaku?
Ikuti wawancara Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia DATUK SERI AKHBAR SATAR bersama Pengarang Berita NAZARALI SAERIL bagi mengupas isu ini.
Rekod kes babitkan Macau Scam. Komen?
Statistik Bukit Aman merekodkan, 5,218 kes penipuan Macau Scam dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini membabitkan kerugian sehingga RM256 juta.
Sebanyak 2,676 kes dilaporkan berjaya ditumpaskan oleh polis dan 1,420 kes pula sudah dituduh di mahkamah di seluruh negara.
Mangsa yang paling ramai adalah wanita iaitu lebih 3,000 kes dan sebahagian besarnya berusia lebih 51 tahun.
Pada masa sama, statistik polis pada 2019 merekodkan 28,508 kes penipuan termasuk Macau Scam dan 18,130 pembukaan akaun membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM2.5 bilion.
Pada masa sama, lebih 80,000 akaun bank dibuka keldai akaun untuk kegunaan sindiket penipuan direkodkan sejak
2019 hingga kini.
Bagaimana sindiket Macau Scam beroperasi?
Ketika awal penipuan bertahun lalu, sindiket mendakwa mangsa memenangi hadiah cabutan bertuah walaupun tidak pernah menyertai mana-mana peraduan.
Mangsa kemudiannya diminta membayar cukai atau wang insurans terlebih dulu sebelum kononnya boleh menerima wang kemenangan.
Sindiket kemudiannya mengubah taktik dengan meminta wang tebusan dengan menipu mangsa kononnya anak mangsa diculik.
Mangsa turut dilarang melaporkan ‘penculikan’ itu kepada polis.
Namun apabila wang tebusan dibayar, mangsa mendapati anak tidak diculik.
Terkini, ahli sindiket menyamar sebagai pegawai polis serta Bank Negara Malaysia.
Mangsa pula didakwa terbabit dengan pengubahan wang haram dan diminta memindahkan wang mereka ke akaun tertentu mencecah ratusan ribu ringgit sebelum menyedari ditipu.
Ada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) disyaki turut terbabit dengan Macau Scam.
Penguat kuasa undang-undang yang terbabit dalam amalan rasuah serta jenayah, tidak kira daripada agensi keselamatan mana sekalipun, adalah mereka yang tiada integriti.
Mereka mahu hidup mewah dengan menggadai maruah. Ada tiga punca mereka melakukannya.
Pertama ialah peluang. Penguat kuasa ini ada kuasa dan peluang untuk menyalahgunakan kuasa bagi kepentingan diri.
Kedua ialah tekanan. Antara faktornya ialah penguat kuasa ini terbabit dengan judi, dadah selain berhutang.
Ketiga ialah rasionalisasi. Ia bermaksud menghalalkan perbuatan yang salah dan haram.
Ada dalam kalangan mereka yang terbabit rasuah menyalahkan orang atasan yang juga terbabit dalam kegiatan rasuah yang lebih serius.
Penguat kuasa ini berpendapat, ‘Jika bos boleh buat, kami pun berhak mendapat ganjaran rasuah. Jika saya tidak ambil, orang lain akan ambil rasuah itu.’
Jika isu integriti berterusan, bagaimana Datuk Seri melihat pasukan penguat kuasa undang-undang dalam tempoh 10 tahun akan datang?
Jika isu integriti berterusan umpama tiada penghujung selain yang bersalah seolah-olah dibiarkan, pasukan penguat kuasa berkaitan pasti tidak akan dihormati masyarakat.
Jika isu integriti seperti rasuah dan salah guna kuasa ini tidak dibendung daripada sekarang, kadar rasuah serta salah guna kuasa akan menjadi lebih teruk.
Kesudahannya, ia akan merosakkan pasukan keselamatan, anggota penguat kuasa itu sendiri, masyarakat dan negara.
Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terbabit dengan sindiket berkaitan warga asing. Komen?
Penguat kuasa ini termasuk dalam golongan yang tidak patriotik dan sayangkan negara.
Dengan mengambil rasuah, terutama daripada sindiket berkaitan warga asing, ia turut memberi kesan buruk daripada segi masalah sosial, jenayah, ekonomi, masa depan generasi kita selain negara sendiri.
Hasil sepatutnya dinikmati rakyat tempatan mengalir kepada warga asing, malah rakyat tempatan berpindah ke lokasi lain akibat tidak selesa dengan kehadiran warga asing ini.
Pada masa sama, ada juga warga asing yang menubuhkan kongsi gelap untuk memeras ugut warga asing sendiri dan terbabit dengan jenayah lain.
Perkara ini merosakkan negara kita dalam jangka masa panjang.
Berlaku juga amalan rasuah di KLIA. Mungkin kerana lama bertugas di sesebuah lokasi.
Kegiatan rasuah di KLIA pernah dilaporkan sebelum ini malah pelakunya turut ditahan.
Pegawai yang disyaki mengamalkan rasuah turut ditukar sejak beberapa tahun kebelakangan ini namun kegiatan ini masih berlaku.
Ada yang ditukar setiap tiga tahun namun masih terbabit rasuah.
Kaedah penggiliran tugasan membabitkan penguat kuasa di barisan hadapan ini baik namun penguat kuasa dipilih perlu dipastikan yang terbaik daripada integriti dan perkara berkaitan.
Mereka ini perlu diawasi pegawai atasan yang turut diketahui mempunyai integriti sangat tinggi.
Bagaimana mahu mengatasi masalah integriti ini?
Perkara utama ialah mengakui ada kelemahan dalam agensi atau jabatan masing-masing dan sama-sama perbaiki masalah itu.
Ketua perlu tunjukkan contoh yang baik kepada anak buah kerana perbuatan ketua yang tidak berintegriti akan diikuti anak buah.
Ketika pengambilan kakitangan, jalankan tapisan yang lengkap dan adakan ujian integriti dari semasa ke semasa seperti ujian poligraf.
Ujian poligraf turut digunakan dalam kalangan agensi penguat kuasa Singapura.
Kajian saintifik juga perlu dilakukan bagi mencari punca sebenar rasuah. Adakah ia berpunca daripada cara kita dibesarkan, sistem pendidikan, sosio ekonomi atau pimpinan?
Jika punca utamanya diketahui, walaupun mungkin tidak 100 peratus tepat, isu rasuah dan salah guna kuasa dapat dibanteras.
Cukup ramai anggota dan pegawai PDRM serta JIM yang berintegriti. Mereka turut terasa bahangnya kesan dipandang serong orang ramai.
Memang mereka terasa bahang kesan perbuatan segelintir rakan perjuangan yang tidak amanah.
Nasihat saya, mereka perlu bersabar, terus lakukan tugas dengan baik dan jujur.
Jangan terbabit dengan rasuah atau salah guna kuasa. Makanan yang halal akan memastikan kehidupan keluarga lebih harmoni serta bahagia.
Mereka inilah yang tidur lena pada waktu malam kerana tidak terbabit dengan salah laku.
Buat golongan berintegriti ini, ganjaran sebenar anda ada di akhirat, hanya Allah SWT dapat membalasnya.