Bekas pembantu penguat kuasa SPAD menangis didakwa rasuah

SHAH ALAM – Seorang bekas pembantu penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menangis ketika didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan rasuah bernilai RM6,600, empat tahun lalu.

Mohd. Faiz Ahdon, 36, yang dituduh bersama dua bekas rakan sekerjanya yang menjawat jawatan sama, Syed Ammar Syamim Syed Agail, 34 dan Mohd. Shahril Sapiain, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Ketiga-tiga mereka berdepan dua pertuduhan bersama iaitu meminta dan bersetuju menerima suapan bernilai RM720 daripada seorang pemandu teksi sapu, Chong Chung Kwee, 57.



Ia sebagai dorongan membocorkan maklumat operasi SPAD serta tidak mengambil tindakan terhadap enam pemandu teksi sapu iaitu Chung Kwee, Lim Chiam Hee, Yap Chee Hong dan Soo Mun Kit yang masing-masing berusia 56 tahun, Tay Kin Tong, 70 serta Chua Kooi Chean, 58.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Sepang di antara pukul 1.30 hingga 2.30 pagi, Februari 2016.

Mohd. Faiz yang kini bekerja sebagai pemandu e-hailing turut didakwa 11 lagi pertuduhan menerima rasuah secara berperingkat dengan nilai keseluruhan RM5,940 daripada individu, tujuan dan enam pemandu yang sama.

Kesalahan itu dilakukannya di sebuah bank masing-masing di Bandar Puteri Puchong dan Bandar Baru Bangi bermula 11 Januari hingga 15 Mac 2016.



Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima ganda dan RM10,000, mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab, manakala peguam Ridha Abdah Subri mewakili Mohd. Faiz. Ammar dan Mohd. Shahril pula tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM4,000 untuk 13 pertuduhan dihadapi Mohd. Faiz, sementara dua lagi tertuduh masing-masing RM2,000 bersama seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan lain serta tarikh sebutan semula kes ditetapkan 14 Disember depan. – K! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button