ATM sedia tambah pos kawalan, anggota di sempadan
Datuk Arman Rumaizi Ahmad
BUKIT KAYU HITAM, 28 Nov — Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menambah pos kawalan dan anggotanya bagi mengukuhkan kawalan di kawasan sempadan negara jika keadaan memerlukan, kata Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.
Beliau berkata sejumlah 12 pos kawalan sedia ada dengan 80 hingga 100 anggota ditugaskan di kawasan penugasan ketika ini masih berupaya menjaga sempadan negara daripada dibolosi.
“Kita melihat kesesuaian yang ada untuk menambah pos. Pos kawalan sedia ada mampu melaksanakan tugas yang diberi tapi jika ada kajian terperinci memerlukan untuk membina pos baharu, kita boleh cadangkan. Kita sentiasa bersedia untuk tambah jika ada keperluan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau meninjau kawasan Op Pagar 2 di sempadan negara yang merupakan kawasan kawalan di bawah ATM di sini.
Arman Rumaizi berkata secara keseluruhan kawasan Op Pagar 2 yang meliputi jajaran sempadan Malaysia-Thailand sejauh 24 kilometer dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Padang Terap dipantau secara terperinci bagi mengesan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.
Katanya, ketika ini, ATM sentiasa memastikan anggotanya mempunyai kesiapsiagaan yang tinggi, mengukuhkan rondaan di kawasan penugasan selain meningkatkan aktiviti risikan.
“Kita bertindak agresif supaya tidak ada satu pun kawasan kita dibolosi oleh anasir-anasir tidak bertanggungjawab sama ada penyeludup ketum, dadah dan manusia.
“Kita juga kenal pasti ‘hotspot’ dan perkukuhkan rondaan, selain bekerjasama dengan pihak tentera negara jiran dan berkongsi maklumat,” katanya.
Mengenai keselamatan anggota ATM susulan insiden berbalas tembakan yang mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan mencederakan seorang lagi di Padang Besar Perlis, Arman Rumaizi berkata keselamatan anggotanya sentiasa diletakkan pada tahap tertinggi.
“Dari segi tugas, ia tidak akan melunturkan semangat dan saya akan terus berusaha memberi semangat kepada anggota. Mereka tidak gentar dengan apa yang berlaku, malah semakin bersemangat,” katanya.
Selasa lalu, anggota PGA Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban dan rakannya, Sarjan Norihan Tari, 39, cedera parah, selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.
Banjir di Perak tambah baik, lebih 500 penduduk dibenar pulang