Remaja 19 tahun dipercayai edar dadah
Orang Digari
KUANTAN, 30 Nov — Usia baru menginjak 19 tahun, namun dipercayai terlibat mengedar dadah jenis heroin dan syabu sekitar Pulau Tioman, Rompin kira-kira 150 kilometer dari sini.
Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azari Miskon berkata remaja lelaki yang bekerja sebagai pemandu bot itu ditahan 7 malam semalam, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Juara di pulau itu bersama heroin yang dianggarkan seberat 19.85 gram dan syabu 1.30 gram.
“Dadah itu dipercayai untuk jualan sekitar pulau ini berdasarkan kepada penemuan seunit penimbang elektronik warna kelabu di rumah tersebut selain dadah juga ditemukan dibungkus dalam 26 plastik bungkusan kecil.
“Dadah tersebut ditemukan disembunyikan dalam peti besi, dalam satu daripada bilik tidur di rumah tersebut dan dipercayai suspek boleh menjualnya sehingga RM1,130,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Azari berkata selain dadah, polis turut merampas dua telefon pintar dan suspek akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin pada esok (2 Dis) dengan menaiki feri.
Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Enam termasuk tiga wanita ditahan kerana disyaki edar dadah